Pengalaman dikuarantin 14 hari menguji emosi – PUS

Pengalaman dikuarantin 14 hari menguji emosi – PUS

“PROSES menjalani kuarantin selama 14 hari dirasakan amat panjang dan menguji emosi kerana terpaksa menahan kerinduan terhadap keluarga serta kebebasan yang dikecapi selama ini”.

Itu antara perkongsian pengalaman pesakit dalam pemantauan (PUS) yang ditempatkan di pusat kuarantin, Akademi Bomba Wakaf Tapai di sini setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang pesakit COVID-19, akhir September lepas.

Seorang penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, berusia 40-an, mengakui beliau agak tertekan apabila dimaklumkan perlu menjalani proses kuarantin bagi mengekang penularan wabak itu, mulai 1 Okt lepas.

“Hati berdebar-debar sementara menanti keputusan saringan ujian swab, walaupun ujian pertama negatif namun saya tetap gelisah kerana ada juga kes, individu disahkan positif dalam ujian kedua.

“Kebimbangan dan tekanan itu turut dirasai oleh keluarga serta rakan terdekat. Alhamdulillah, pada ujian kedua saya disahkan negatif….barulah saya lebih bersemangat, kembali ceria dan tidak sabar bertemu keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat kuarantin itu di sini hari ini.

Ahmad, merupakan antara 62 PUS di pusat itu yang dibenarkan pulang ke rumah hari ini setelah ujian kesihatan mengesahkan beliau bebas COVID-19 dan telah menjalani kuarantin selama 14 hari.

Seorang lagi bekas PUS, yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli berharap agar masyarakat sentiasa mengamalkan kebersihan dan patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak dijangkiti COVID-19.

Katanya, amalan memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan kerap serta menjaga jarak fizikal sangat penting kerana hanya cara itu yang dapat mencegah wabak berkenaan.

“Bohonglah kalau saya kata tidak bimbang sepanjang tempoh kuarantin, namun saya hanya berserah dan bertawakal kepada Allah kerana sudah mengambil semua langkah pencegahan sebelum ini.

“Kita tidak tahu bila COVID-19 akan berakhir, jadi kita perlu membiasakan diri untuk ‘hidup bersamanya’ dalam satu tempoh yang tidak diketahui…perlu peka dan biasakan diri dengan norma baharu untuk elak dijangkiti,” katanya yang mahu menyebarluaskan maklumat tepat mengenai COVID-19 selepas ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata terdapat dua pusat kuarantin dibuka di daerah itu sejak 27 Sept lepas.

“Pusat kuarantin pertama adalah di Pusat Sumber Teknologi Pendidikan yang menempatkan 37 PUS dan kedua di Akademi Bomba Wakaf Tapai yang menempatkan 123 PUS setakat pukul 12 tengah hari semalam.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang ada di dua pusat kuarantin ini kerana mereka bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memutuskan rantaian COVID-19.

“Usaha mereka ini berjaya dalam mengurangkan jangkitan dalam kalangan komuniti,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES