Berita

Majikan bersedia untuk dasar gaji progresif tetapi perlu ditambah baik sebelum dilaksanakan – MEF

- Diterbit 12 Januari 2024 10:00 AM MYT

MAJIKAN bersedia untuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif dalam satu projek perintis yang akan dimulakan pada  Jun tahun ini  tetapi mereka mengingatkan keperluan menambah baik apa yang perlu dibaiki sebelum dasar itu dilaksanakan, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata gaji lebih tinggi berdasarkan peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerja akan menarik minat lebih ramai pelabur ke negara ini.

Beliau berkata kadar pertumbuhan produktiviti perlu ditingkatkan terlebih dahulu dengan kos akan ditanggung oleh majikan, maka bagi mengurangkan beban tambahan, kerajaan seharusnya menampung kos untuk peningkatan kemahiran dan pemahiran semula sebelum pekerja boleh dibayar dengan gaji yang lebih tinggi.

“Dasar gaji progresif bukan hanya untuk melaraskan gaji supaya setara dengan prestasi kerja, produktiviti, kemahiran dan pengalaman tetapi juga memastikan produktiviti dan keuntungan majikan meningkat sementara pengguna mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang berpatutan.

Di bawah model gaji progresif, apabila pekerja memiliki kemahiran diperakui, mendapat lebih pengalaman dan menunjukkan peningkatan dalam prestasi kerja dan produktiviti, mereka layak untuk mendapat gaji yang lebih tinggi, katanya kepada Bernama.

Syed Hussain berpendapat pelaksanaan dasar ini yang melibatkan peruntukan tertentu sebagai subsidi kepada majikan yang suka rela melakukannya perlu diperkemaskan bagi memastikan kefahaman yang lebih baik dan menarik penyertaan lebih ramai majikan ke dalam program ini.

“Belum lagi jelas bagaimana subsidi ini akan diagih-agihkan dan kerajaan belum lagi menetapkan kadar minimum  kenaikan untuk layak mendapat subsidi ini.  MEF berpandangan subsidi untuk kenaikan tahunan seharusnya tidak dihadkan kepada 12 bulan sahaja,” katanya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion.

Walaupun pujian diberikan kepada langkah kerajaan untuk memperkenalkan dasar gaji progresif, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin berkata keputusan untuk tidak menjadikan dasar ini mandatori adalah langkah tepat kerana setiap perniagaan adalah unik.

Beliau berkata perniagaan seharusnya menentukan sendiri sama ada menyertai dasar gaji progresif ini atau tidak.

“Daripada menggunakan pendekatan hukum,  kerajaan menggunakan pendekatan ganjaran sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun pelaksanaannya, katakan (kenaikan) RM200-RM300 (kepada pekerja) akan ditanggung kerajaan.

… tetapi apabila sektor swasta dengan kewangan tambahan ini menyaksikan produktiviti meningkat, mereka (majikan) seharusnya lebih sedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi selagi mereka mereka melihat ini sebagai kaedah untuk memberi insentif kepada pekerja untuk bekerja dengan lebih produktif,” katanya.

Menurut Ameer, Mydin sedia untuk menyertai pelaksanaan dasar gaji progresif dengan rantaian pasar raya besar itu telah meneliti 7,000 pekerja untuk menerima faedah itu menurut petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu untuk pekerja yang memegang jawatan pengurusan di peringkat bawahan dan pengurusan tertinggi.

Sementara itu, Ketua Hak Asasi Manusia, Undang-undang dan Sosial EMIR Research Jason Loh Seong Wei berkata dasar itu adil dan seimbang kerana ia tidak dikenakan secara langsung ke atas majikan dengan kerajaan menyediakan insentif tunai untuk menambah kepada kenaikan gaji.

“Bukan hanya majikan yang menyertainya akan mendapat insentif kewangan tetapi juga pekerja-pekerja, kerana mereka adalah penerima utama dasar gaji progresif. Insentif tunai sememangnya akan sampai kepada pekerja-pekerja yang layak.

Ini tidak hanya akan meningkatkan produktiviti dalam konteks keluaran tetapi juga latihan dan pembangunan seperti peningkatan kemahiran dan pemahiran semula,” katanya.

Pada 30 Nov lepas, Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis kepada soalan  Senator Datuk  Koh Nai Kwong menyatakan kira-kira 80 peratus daripada majikan terpilih sedia untuk menyertai Dasar Gaji Progresif jika ianya secara suka rela dan memberi peluang kepada mereka untuk meneliti terlebih dahulu kemampuan dan prestasi kewangan syarikat sebelum menyertainya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas