Berita

MAIWP salur RM5 juta kepada mangsa banjir di empat negeri

MAIWP menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta kepada YWP bagi membantu mangsa banjir.
- Diterbit 25 Januari 2021 10:00 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan berjumlah RM5 juta bagi membantu mangsa banjir di Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam kenyataan hari ini, berkata setiap negeri berkenaan akan menerima bantuan sebanyak RM1.25 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM250,000 akan digunakan untuk membiayai kelengkapan masjid dan surau yang terjejas akibat banjir yang disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri terbabit.

Katanya, baki RM1 juta pula akan digunakan untuk barangan keperluan mangsa banjir seperti toto, dapur memasak, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi, telekung dan sebagainya.

“Bantuan ini akan disampaikan oleh pihak yang dilantik MAIWP kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkenaan pada tarikh dan lokasi yang akan ditentukan,” katanya.

Zulkifli berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana dengan pembayaran zakat tersebut MAIWP berjaya melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.

“Anda adalah hero asnaf sebenar. Saya akan pastikan bantuan ini diagihkan seadilnya agar ia dapat meringankan beban mangsa banjir di empat negeri ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas