Berita

Banjir Sabah: Pejabat daerah kumpul maklumat untuk baiki infrastruktur

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi banjir di Beaufort bagi memastikan keadaan selamat sebelum membenarkan mangsa banjir pulang ke rumah.
- Diterbit 25 Januari 2021 9:52 AM MYT

PEJABAT daerah di Sabah sedang dalam proses mengumpulkan maklumat bagi memastikan kerosakan infrastruktur akibat banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini, dapat dibaiki dengan sempurna, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.

Beliau berkata pihaknya ada menerima laporan kerosakan itu di berlaku di kampung-kampung di beberapa daerah, bagaimanapun kementeriannya sedang menunggu maklumat serta laporan lebih terperinci daripada pejabat daerah masing-masing, sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya telah meminta pihak pejabat daerah untuk mengumpul maklumat terperinci mengenai kerosakan, dan kita akan segera mengambil tindakan untuk membaiki kemudahan infrastruktur yang menjadi keperluan mendesak penduduk.

“Kita tahu ada infrastruktur seperti jalan-jalan kampung dan jambatan gantung yang rosak, dan kementerian akan memastikan masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin, apabila kita menerima laporan terperinci daripada pejabat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyampaian sumbangan 10,000 roti bun daripada Syarikat Kim Teck Cheong, kepada Hospital Queen Elizabeth di sini hari ini.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Jahid berkata sumbangan itu merupakan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang melawan COVID-19 dan kerajaan sangat mengalu-alukan sumbangan seperti itu.

“Oleh itu kita berharap akan ramai lagi pihak-pihak lain khususnya syarikat swasta, tampil untuk memberikan bantuan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan, tetapi kepada semua golongan yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas