Berita

MAIWP Mart dibuka di Labuan, beli sambil infak

ZAINAL (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembukaan kedai MAIWP Mart di Ganggarak Permai, baru-baru ini.
- Diterbit 4 Ogos 2023 5:00 AM MYT

BAGI membantu ­golongan asnaf dan penduduk di ­pulau bebas cukai ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka kedai barangan runcit, MAIWP Mart, ­baru-baru ini.

Menurut Pengerusinya, Zainal Abidin Shaik Zakaria, pembukaan ­kedai ­tersebut bertujuan menawarkan ­barangan keperluan ­pada harga lebih murah ­selain memudahkan pihaknya ­menyalurkan ­bantuan ­kepada golongan asnaf di kawasan sekitar.

“MAIWP Mart Labuan merupakan kedai ketiga ­selepas dua buah ­cawangan di Putrajaya. Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada ­golongan ­sasaran mendapatkan barangan ­dengan harga mampu ­milik sambil berinfak,” ­katanya ­kepada pemberita ­pada Majlis Pelancaran Pembukaan MAIWP Mart di Ganggarak Double Storey, Kampung Ganggarak, ­baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah MAIWP, Ir Abdul Karim Mohamed dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadli Md Saad.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MAIWP Dagang Sdn Bhd, Datuk Dr Hafsah Hashim ­menyeru para usahawan tempatan agar menyertai MAIWP Mart sebagai pembekal ­sekali gus dapat ­membantu meningkatkan ekonomi ­perniagaan mereka.

“Pihak kami ­amat ­berbesar hati jika ­peluang yang ada ini direbut oleh ­usahawan ­tempatan ­khususnya golongan asnaf. Ini merupakan konsep yang kami ketengahkan agar ­golongan asnaf boleh berdikari sendiri dengan menjadi usahawan dan pihak kami amat ­mengalu-alukan agar mereka menyertai MAIWP Dagang sebagai pembekal,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas