Berita

MAIWP agih lebih RM1 bilion wang zakat sejak Mac 2020

MAIWP turut menggalakkan golongan B40 yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP untuk memohon Bantuan Zakat Kecemasan PKP 3.0 yang dibuka bermula hari ini hingga 30 Jun secara dalam talian.
- Diterbit 24 Jun 2021 3:17 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus ke depan membantu golongan asnaf yang memerlukan melalui agihan zakat secara langsung dan tidak langsung.

Bayangkan lebih RM1 bilion diagihkan sejak Mac 2020 sehingga Mei 2021.

Bagi tempoh Mac hingga Disember tahun lalu sebanyak RM732.55 juta zakat diagihkan MAIWP manakala sehingga Mei tahun ini pula RM303 juta zakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata agihan zakat itu membabitkan 30 skim bantuan, inisiatif bantuan perniagaan (Musa’adah Tijariyyah) dan bantuan zakat kecemasan termasuk belanja pengurusan, prasarana dan kemudahan asnaf,” katanya mengumumkan pencapaian MAIWP bagi tempoh Mac 2020 hingga Mei lalu dalam hantaran di Facebook, pada Khamis.

Zulkifli berkata, MAIWP turut mengadakan beberapa pembaharuan sejak Mac tahun lalu seperti memperkenalkan aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) bagi membantu orang ramai melaporkan kewujudan golongan asnaf.

Katanya, aplikasi itu turut dilengkapi teknologi sistem pengesanan lokasi (GPS) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP mengesan golongan asnaf yang memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan.

“Perkhidmatan bantuan lain bakal diperkenalkan adalah Projek Foodtruck MAIWP yang akan meyediakan makanan secara percuma kepada 750 golongan asnaf dan yang memerlukan setiap hari untuk tempoh lima hari.

“Selain itu, projek Kedai Makan Usahawan MAIWP membabitkan tiga kedai milik usahawan asnaf akan memberi manfaat makanan percuma kepada 300 golongan asnaf dan yang memerlukan selama lima hari seminggu.

“Projek Foodrider MAIWP membabitkan 10 kakitangan MAIWP yang ditugaskan menghantar Kit Bantuan Makanan kepada asnaf akan dilaksanakan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas