Berita

Dr Md Amin Naib Canselor UPSI baharu

KUALA LUMPUR 08 OCTOBER 2018. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) di Universiti Pendidikan
- Diterbit 24 Jun 2021 3:24 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa esok hingga 23 Jun 2024.

Md Amin, 50, yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI sejak 2017, menggantikan Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 7 Feb lepas.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(1) Perlembagaan UPSI.

“Kementerian percaya dengan pelantikan ini, beliau mampu menyumbang dan membawa UPSI ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa,” menurut KPT.

Md Amin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan (Rekreasi) daripada UPSI pada 2000, Ijazah Sarjana Sains Sukan (Pendidikan Fizikal) daripada University of Otago, New Zealand pada 2004. Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Sukan (Pengurusan Taman dan Rekreasi) daripada Universiti Putra Malaysia pada 2010.

Menurut KPT Md Amin berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultasi serta telah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar.

“Beliau telah menyumbang kepakaran dan juga memaparkan kredibiliti kepimpinan melalui lantikan sebagai pakar rujuk dan ahli panel kesepakaran oleh pelbagai agensi termasuk lantikan oleh jemaah menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Insiden Bomba Lemas,” kata KPT.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Education Malaysia Washington DC, Amerika Syarikat, yang merupakan pejabat Education Malaysia terbesar di dunia.

Md Amin juga adalah atlet negara dalam sukan kayak dan telah mencatatkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang sukan dan rekreasi.

Antaranya muncul juara sukan kayak kebangsaan dan antarabangsa dari 1993 hingga 2004, mengilhamkan dan menganjurkan pelbagai kejohanan sukan kayak dan rekreasi, menubuhkan Bandar Sukan UPSI , Taman Kembara UPSI serta menerbitkan Kurikulum Pendidikan Kanu Kebangsaan yang diguna pakai di seluruh Malaysia.

Md Amin juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Kanu ASEAN, menubuhkan Rangkaian Rekreasi Luar Asia Pasifik dan terlibat aktif dalam penganjuran Persidangan Pendidikan Antarabangsa Washington dan Persidangan NAFSA.

Beliau juga mengilhamkan Anugerah Perdana Scholar Award di Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas