Berita

Mahu MPP beri inspirasi kepada mahasiswa

ROSLAILI menyusun pelaksanaan program antarabangsa yang mampu memberi impak positif kepada mahasiswa dan universiti.
- Diterbit 19 November 2021 4:06 AM MYT

PERNAH mendapat lebih lapan ratus komen negatif di Facebook selepas pelantikannya sebagai Majlis Perwakilan Pelajar, Roslaili Ahmad Radzi @ Ismail, 23, bangkit menepis kritikan mahasiswa
melalui program kepimpinan antarabangsa yang dianjurkan olehnya.

Melalui laman sosial Facebook, dia menerima banyak kritikan dan ketidakpuasan hati setelah dilantik ekoran ramai yang meragui
kebolehannya menjawat jawatan tersebut.

“Hari pertama menjawat jawatan sebagai MPP, ramai mahasiswa yang kurang berpuas hati dengan pelantikan saya dan meragui kebolehan yang dimiliki untuk menjaga kebajikan pelajar seperti MPP yang sebelumnya.

“Untuk membuktikan kepada mereka, saya bangkit menyusun
strategi dengan melaksanakan program antarabangsa yang
dekat dengan pelajar dan mampu memberi impak positif kepada universiti iaitu Program Spread Volunteerism in Korea dan Spread Volueteerism Malaysia to Singapore,” katanya yang memegang jawatan sebagai MPP Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua
penggal ini.

Kejayaan melaksanakan program tersebut mendorong dirinya memperoleh Anugerah Emas MUKUMA Komuniti dan Sukarelawan Antarabangsa serta Anugerah Tokoh Siswa peringkat Kebangsaan 2020, baru-baru ini.

“Pengiktirafan anugerah  ini bukanlah pengakhiran kejayaan sebenarnya, namun ia merupakan titik permulaan kepada saya untuk berbakti bukan sahaja kepada universiti malah kepada
negara.

“Bertanding bersama dua calon hebat daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) membuatkan perasaan saya pada pagi itu bercampur aduk kerana bagi saya, keduadua calon itu sangat berkaliber dari aspek percakapan,penampilan dan program
yang dipertandingkan adalah berkualiti.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KPT kerana  menganjurkan anugerah ini yang merupakan salah satu platform yang mengalakkan mahasiswa untuk mendedahkan diri dalam aspek kemahiran sosial dan insaniah, luar daripada akademik dan
juga termasuk pensyarah dan pengurusan universiti yang sentiasa mendorong mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti dan program yang mampu meningkatkan nilai tambah (added value)
mahasiswa sebelum memasuki alam pekerjaan,” jelas penerima Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar ini.

Menurut Roslaili, memegang jawatan sebagai MPP bukanlah suatu perkara yang mudah apabila dia perlu bijak membahagikan masa antara akademik dan kepimpinan.

“Tanggungjawab utama saya memasuki universiti adalah belajar dan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan cemerlang.

“Untuk mencapai matlamat itu, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran di dalam kelas dengan menulis nota serta sentiasa aktif bertanya kepada pensyarah dan rakanrakan sekiranya ada perkara yang kurang difahami”.

“Menjadi MPP bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana kami sentiasa diperhatikan oleh pensyarah dan mahasiswa kerana
sebahagian mereka menjadikan MPP sebagai role model terutama dalam bidang kepimpinan,” katanya.

Roslaili berharap agar dirinya mampu memberi inspirasi dan
menjadi role model terbaik kepada mahasiswa bukan sahaja dalam bidang kepimpinan malah akademik juga serta menasihatkan mahasiswa untuk terus bangkit daripada kejatuhan dan tidak membiarkan perasaan putus asa menguasai diri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas