Berita

Rapatkan mahasiswa, OKU melalui kesukarelawanan

NURUL ATIQAH (lima dari kiri) semasa lawatan ke Ho Chi Minh, Vietnam.
- Diterbit 19 November 2021 4:01 AM MYT

SESETENGAH masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap kekurangan yang dihadapi oleh golongan istimewa. Namun, disebalik kekurangan itu pastinya ada kelebihan yang menjadikan mereka kuat untuk bangkit menempuh cabaran.

Mempunyai masalah pendengaran di telinga kiri dan kanan sejak berumur tujuh tahun, penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurul Atiqah Rohaizar, 25, menjadikan
aktiviti kesukarelawanan sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan jurang di antara masyarakat normal dan golongan kurang upaya (OKU).

Melalui Program Siswa 2.0 yang dianjurkan olehnya, dia bersama
lima pelajar lain menyantuni rumah kebajikan OKU selama empat hari tiga malam di Ho Chi Minh, Vietnam bagi melakukaan aktiviti
kesukarelawanan.

“Semasa berada di sana, saya dapati kebanyakkan mereka tidak boleh berjalan dan melakukan aktiviti, jadi kami para sukarelawan Malaysia bantu pihak pengurusan membersihkan kawasan itu.

“Kami juga turut diberi tunjuk ajar tentang teknik urutan OKU. Walaupun rumah ini terletak di kawasan pedalaman tetapi mereka
ada satu mesin khas untuk rawatan tersebut,” jelas Pengarah Program Siswa 2.0 ini.

Menurut Atiqah, masalah komunikasi merupakan antara cabaran yang dihadapi ketika melaksanakan program ini.

“Masalah utama yang kami hadapi adalah untuk berkomunikasi secara terus memandangkan tidak ramai yang boleh bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Tapi Alhamdullilah, kami berasa sangat bertuah kerana ketika
kami datang ada sukarelawan Vietnam yang turut melakukan aktiviti di situ, jadi merekalah yang membantu kami untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya dalam bidang sukarelawan, Nurul Atiqah bersama rakannya akan mewujudkan satu program komuniti untuk mendedahkan masyarakat dengan bidang teknologi dan penyuntingan.

“Kami sedang dalam perancangan untuk membuat satu program komuniti untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan seperti bidang teknologi, penyuntingan dan lain-lain.

“Kita akan beri tunjuk ajar bagaimana hendak menggunakan Adobe Photoshop, Adobe Ilustrator, membuat resume, editing dan
banyak lagi.

“Bagi saya, aktiviti kesukarelawan ini bukan sahaja tertumpu kepada bantuan masyarakat tetapi dalam pelbagai bentuk juga termasuk kesukarelawanan terhadap alam,” jelasnya lagi.

Pencapaian Nurul Atiqah menjadi Pengarah Program Siswa Curah Bakti 2.0 (ASEAN) telah menobatkannya sebagai penerima Anugerah Inspirasi Mahasiswa 2018/2019 sehingga berjaya mendapat Anugerah Khas Kepimpinan Ibnu Ummu Maktum di Anugerah Tokoh Siswa peringkat Kebangsaan 2020, pada 9 November lalu.

Difahamkan, Anugerah Khas Ibnu Ummu Maktum merupakan
anugerah baharu yang turut dipertandingkan dalam 18 kategori untuk mengiktiraf dan menghargai pencapaian kecemerlangan
pemimpinan mahasiswa (individu) orang kurang upaya di IPT
terhadap program-program berimpak yang dianjurkan. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas