Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkaitan keluarga Zeti, Jho Low
PENGHAKIMAN menolak permohonan itu berkata permohonan berkenaan pramatang kerana Zeti bukan individu yang dibicarakan dan beliau masih belum dipanggil sebagai saksi dalam kes 1MDB. Kredit foto oleh: Freemalaysiatoday

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkaitan keluarga Zeti, Jho Low

DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, dan ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bekas perdana menteri itu memohon perintah mahkamah menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan dana RM2.3 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, dalam penghakimannya menolak permohonan itu berkata permohonan berkenaan pramatang kerana Zeti bukan individu yang dibicarakan dan beliau masih belum dipanggil sebagai saksi dalam kes 1MDB.

“Responden (pendakwaan) berhujah bahawa permohonan ini bercanggah dengan isu perbicaraan, yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang. Kedudukan yang diambil oleh pemohon (Najib) dalam perbicaraan setakat ini adalah Datuk Seri Najib atas kapasitinya sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Kementerian Kewangan Malaysia ditipu oleh Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

“Bagaimanapun, masih terbuka untuk peguam berdepan Tan Sri Zeti dalam perkara ini apabila beliau dipanggil memberi keterangan.

“Oleh itu, saya tidak melihat bagaimana dokumen bank yang disebutkan ini ada kaitan dengan sejumlah wang yang diterima oleh keluarga Tan Sri Zeti, berkaitan dengan tindakan awal pembelaan,” kata hakim.

Hakim Sequerah juga menolak permohonan kedua Najib untuk mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, dengan mengatakan bahawa responden telah menjelaskan bahawa ia tidak memiliki dokumen tersebut.

“Pembelaan tidak boleh mengarahkan pendakwaan bagaimana cara mengendalikan perbicaraan mereka. Sudah terbukti bahawa rekod telefon yang diminta tertuduh (Najib), bukan merupakan sebahagian daripada kes pendakwaan terhadapnya dan oleh itu pihak pendakwaan tidak wajib memberikan dokumen ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia, hakim itu berkata maklumat yang diminta (oleh pemohon) dinyatakan secara umum dan tidak khusus.

Pada 24 Mac, Najib memfailkan notis usul memohon perintah mahkmah bagi pihak pendakwaan mengemukakan beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat-syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDB yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kedua pada 7 April, bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik terhadap telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 17 Ogos. – BERNAMA

CATEGORIES