Berita

MAFI kenal pasti syarikat baharu sebagai panel pengeluar benih padi sah

- Diterbit 9 Februari 2021 8:29 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini dalam proses mengenal pasti syarikat baharu untuk dilantik sebagai panel pengeluar benih padi sah (BPS) bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras MAFI Azman Mahmood berkata pada masa ini, Pertubuhan Peladang Kebangsaan dilantik sebagai pemborong tunggal dan mengeluarkan lesen peruncit kepada 145 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan tanaman padi di Semenanjung Malaysia.

Langkah ini yang dibuat menerusi pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, bertujuan menangani masalah manipulasi  harga dan pengedaran benih padi yang berulang setiap kali musim penanaman, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya langkah itu juga menyusuli keputusan MAFI memperkenalkan harga siling RM35 bagi setiap beg 20 kilogram BPS bermula tahun ini yang dibuat selepas kementerian mengesan kegiatan penjualan benih padi secara haram oleh ejen atau orang tengah tanpa lesen sah kepada pesawah.

Media pada 22 Dis tahun lalu melaporkan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan pelaksanaan harga siling tersebut bagi menghapuskan manipulasi harga BPS.

Mengulas lanjut, Azman berkata  keputusan itu juga membolehkan kerajaan memantau kualiti sepanjang rantaian nilai benih padi sah.

Beliau berkata hingga kini, sebanyak 81,000 beg BPS telah diedarkan kepada negeri Selangor, Perak dan Pahang melalui ejen rasmi yang berlesen.

“Penggunaan benih padi sah oleh pesawah amat penting kerana dapat mengatasi padi angin di samping meningkatkan mutu pengeluaran padi dan beras negara secara konsisten,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas