Berita

ASEAN perlu bersidang elak rampasan kuasa Myanmar jejaskan keselamatan serantau

- Diterbit 9 Februari 2021 9:12 AM MYT

ASEAN perlu mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan rampasan kuasa tentera di Myanmar, kata seorang ahli akademik.

Prof Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia berpendapat ia perlu dilaksanakan bagi mengelak kemungkinan keadaan menjadi lebih buruk.

Beliau berkata meskipun prinsip ASEAN tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, perkembangan di Myanmar baru-baru ini tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah dalaman sepenuhnya kerana membabitkan kebimbangan lain – termasuk isu keselamatan, kestabilan serantau serta krisis kemanusiaan.

“Sejak ia ditubuhkan, menggunakan ASEAN sebagai platform adalah satu langkah yang bijak untuk membincangkan hal-hal yang menjadi perhatian umum,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dalam kenyataan bersama meminta ASEAN untuk mengadakan mesyuarat  khas bagi membincangkan keadaan politik di Myanmar, susulan rampasan kuasa tentera.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari, sehari sebelum Parlimen dijadualkan bersidang, dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) lain .

Junta mengisytiharkan darurat setahun dan berikrar “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi NLD.

Sementara itu, penganalisis keselamatan ASEAN Prof KS Nathan percaya dialog diplomatik adalah  penyelesaian paling berkesan untuk mengakhiri krisis.

Menurutnya, buat masa ini apa yang lebih penting bagi ASEAN adalah memainkan peranan konstruktif serta mendesak junta dan ahli politik Myanmar untuk kembali ke meja rundingan.

“Ya, ia proses yang panjang tetapi tiada jalan pintas,” kata Nathan, yang juga bekas pengarah di Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu Brunei selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menggesa Myanmar kembali berdialog, berdamai dan memulihkan keadaan sesuai dengan kehendak dan kepentingan rakyat Myanmar.

“Kami menegaskan bahawa kestabilan politik di Negara ASEAN sangat penting untuk mencapai Komuniti ASEAN yang aman, stabil dan sejahtera,” kata Pengerusi ASEAN.  – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas