Berita

MADANI Rakyat: Pengunjung rebut peluang selesaikan urusan, beli-belah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Februari 2024 12:45 PM MYT

ORANG ramai merebut peluang hari terakhir Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor hari ini untuk menyelesaikan urusan mereka di reruai perkhidmatan kerajaan selain mendapatkan barangan dengan harga yang lebih murah.

Pengunjung yang hadir turut menyifatkan program itu sebagai pusat sehenti yang memudah cara urusan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara terus.

Penjawat awam Zohan Ahmad, 58, yang hadir bersama isteri Radziah Hasan, 55, mengambil peluang hari ini untuk membayar enam saman trafik dengan diskaun 50 peratus, sekali gus melangsaikan tunggakan itu.

“Proses pembayaran saman sangat mudah dan cepat, banyak kaunter disediakan dan lega akhirnya semua hutang sudah langsai.

“Kebetulan pula ada jualan murah, jadi isteri juga mahu membeli barangan keperluan asas,” katanya kepada Bernama.

Pekebun kecil, Rahman Sahlan, 68, yang hadir membawa troli empat roda pula berkata beliau datang seawal 9 pagi bersama anaknya untuk membeli beras, minyak dan telur bagi keperluan keluarga yang menetap di Kampung Sungai Tengi Kanan.

“Saya datang memang tujuan utama untuk membeli beras kerana harga ditawarkan RM26 itu murah berbanding di luar kami dapat harga RM34, jadi memang berbaloi, sebab itu kami bawa troli dan penuhkan untuk keperluan sekeluarga.

“Selain itu anak juga mengajak saya untuk lihat teknologi pertanian yang dipamerkan di sini memandangkan kami juga mengusahakan kebun sayur sendiri,” katanya.

Suri rumah, K Vanitha, 33, yang datang dari Tanjung Keramat berkata beliau menumpang kenderaan jiran untuk ke Program MADANI Rakyat Zon Tengah bagi menukar topi keledar yang sudah usang dan tidak lagi selamat untuk digunakan.

Beliau yang datang bersama empat rakannya berkata usaha kerajaan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan itu membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan memiliki topi keledar baharu sekali gus memastikan keselamatan mereka.

Program tiga hari sejak Jumaat bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberikan tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

Majlis penutupan program akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini dan dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas