Berita

Lori tular bawa balak saiz luar biasa ada dokumen pemindahan

Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) memaklumkan mereka telah menahan lori yang tular membawa balak itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak arah barat bagi tujuan pemeriksaan. Kredit foto: Facebook JPNP
- Diterbit 24 Mei 2021 2:59 AM MYT

JABATAN Perhutanan Pahang (JPNP) mengesahkan bahawa proses pemindahan ‘kayu balak bersaiz luar biasa’ yang tular dalam media sosial semalam, mempunyai dokumen sah bagi tujuan tersebut.

Jabatan itu dalam kenyataan medianya di sini hari ini, memaklumkan mereka telah menahan lori yang tular membawa balak itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak arah barat bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasilnya mendapati lori itu mempunyai pas pemindahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Terengganu dan difahamkan dalam perjalanan ke kilang di Selangor,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPNP berharap sebarang aduan berkaitan jabatan mereka dapat disalurkan terus mengikut saluran yang betul bagi membolehkan tindakan segera dibuat selain mengelakkan salah faham masyarakat.

Semalam, sorang pengguna laman sosial Facebook memuat naik gambar lori membawa muatan ‘balak bersaiz luar biasa’ yang didakwa dirakamkan di R&R Temerloh arah barat, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pada 5.50 petang hari yang sama.

Pengguna itu antara lain mempersoalkan mengapa lori itu tidak menunjukkan plat lesen pembalakan seperti kebiasaan selain bagaimana balak itu boleh lepas tanpa pemeriksaan atau bayaran cukai kerana mendakwa Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada hari minggu.

Untuk rekod, hari Ahad merupakan hari bekerja di Terengganu dan LPT1 merupakan laluan biasa untuk mereka dari negeri itu yang hendak ke Pantai Barat. — BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas