Berita

Liputan lebih baik, jalur lebar lebih laju…

- Diterbit 22 Februari 2022 9:57 AM MYT

WARGA Wilayah Persekutuan akan menikmati penambahbaikan liputan dan tahap kelajuan jalur lebar tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar berkata sehingga kini status projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Wilayah Persekutuan di mana bagi fasa pertama untuk tempoh 2020-2022 sebanyak 246 struktur baharu akan dibina di Kuala Lumpur, 33 struktur baharu akan dibina di Putrajaya dan lima struktur baharu akan dibina di Labuan.

“Selain itu 2,292 struktur sedia ada di Kuala Lumpur, 163 di Putrajaya dan 86 di Labuan juga akan dinaiktaraf dan proses penaiktarafan telahpun siap sepenuhnya pada Disember 2021, ujarnya selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Wilayah Persekutuan Alyas Roy Haji Amir.

Antara perkara yang diperbincangkan adalah membabitkan isu isu berkaitan perkembangan industri telekomunikasi terutama sekali ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Alyas Roy berkata, kunjungan hormat yang dilakukan pihaknya adalah sebagai usaha MCMC Wilayah Persekutuan untuk menjalinkan kerjasama strategik antara Kementerian-Kementerian di Wilayah Persekutuan.

“Kita mahu bertukar pandangan dan input berkaitan isu-isu pembangunan telekomunikasi bagi mencapai sasaran 100 peratus liputan di seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,”ujarnya.

Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut adalah wakil daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Setiausaha Bahagian Perbandaran dan Khidmat Teknikal Wan Ashbi @ W Maheran bin Leman Timbalan Setiausaha Bahagian Perbandaran dan Khidmat Teknikal (Seksyen Perbandaran) Dr. Khairul Nizam bin Othman dan wakil daripada MCMC, Timbalan Pengarah MCMC Ts.Katirawaan Rajadran, dan Penolong Pengarah MCMC, Mohd Hazrin Khan Mohd Ibrahim Khan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas