Berita

Lima lelaki ditahan jalankan judi dalam talian untuk pasaran Korea

- Diterbit 22 Januari 2021 4:24 AM MYT

LIMA lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian bagi pasaran Korea, ditahan di sebuah kondominium di Seputeh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata, serbuan kira-kira 5.15 petang itu mendapati kondominium berkenaan dijadikan pusat panggilan atau tempat menjalankan kegiatan itu menggunakan aplikasi Telegram dan beroperasi selama 24 jam.

Katanya lima lelaki yang ditahan itu merupakan warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun, dan pihaknya turut membuat rampasan antaranya enam monitor komputer, empat telefon bimbit dan tiga CPU komputer.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Permohonan reman kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan sedemikian diminta untuk menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas