Berita

“Bukan semua pasangan bercinta mampu bahagia” – Aisha Retno

|
- Diterbit 22 Januari 2021 4:00 AM MYT

SELEPAS menjuarai pertandingan Vokal Mania untuk kategori rookie, Aisha Retno, 20, kini muncul dengan lagu Cinta Denganmu. 

Lagu ini mengisahkan dunia percintaan yang tidak terlepas daripada kisah sedih apabila hanya satu pihak bertepuk sebelah tangan.

Menerusi Cinta Denganmu, Aisha sendiri dapat merasakan keperitan seorang wanita yang cintanya tidak berbalas. 

Lantas, baginya kebahagiaan itu tidak semestinya menjadi milik seseorang.

“Lagu ini berkenaan perasaan cinta seorang wanita tidak diterima si lelaki. Lambat-laun, dia terpaksa akur cintanya bertepuk sebelah tangan meski sudah cuba berusaha mengejar cintanya. 

“Wanita itu sangat berharap dapat menjaga lelaki itu walau apa pun dugaan menimpanya. Tapi malangnya, lelaki itu tidak mampu membalas cintanya.

“Mesej lagu ini sebenarnya adalah cinta itu tidak perlu dipaksa dan kena hadir sendiri. 

“Kepada pasangan bercinta pula, mereka seharusnya memiliki kesefahaman daripada kedua pihak. Tidak dilupakan, bukan semua pasangan bercinta mampu mengecap kebahagiaan diidam,” katanya.

Lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan ini kita menjadi lagu tema untuk drama bersiri Takdir Yang Tertulis arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin. 

Drama yang dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong ini sudah mula disiarkan TV3 pada 21 Januari 2021.

Apapun, Aisha mengakui sangat teruja mendapat kepercayaan untuk melunaskan Cinta Denganmu memandangkan dia sendiri sentiasa mengagumi hasil karya Farouk dan Amylea. 

Ternyata, dua figura itu cukup profesional untuk memastikan Aisha selesa menyuntik penjiwaan peribadinya dalam lagu ini.

“Alhamdulillah proses pembikinannya sangat lancar dan dipermudahkan. Bekerja dengan Farouk dan Amylea adalah satu penghormatan buat saya. 

“Seminggu sebelum rakaman, Farouk memberikan demo lagu itu kepada saya selain banyak perbincangan dibuat bagaimana untuk saya sesuaikan diri dengan lagu ini.

“Walaupun Farouk memang tidak dinafikan nama besar, beliau masih lagi terbuka menerima pendapat orang baharu seperti saya. 

“Sewaktu rakaman, saya mendapat tunjuk ajar daripada Jat Lobo yang berperanan sebagai pengarah vokal. Dialah yang membantu saya daripada segi penjiwaan demi memastikan penyampaian nyanyian saya berkesan,” katanya lagi.

Cinta Denganmu  boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas