Selera

Lepaskan dahaga dengan Cincau Ah Ming

UNCLE Ah Ming menyediakan cincau yang ditempah pelanggan.
- Diterbit 27 Januari 2020 1:15 PM MYT

NYAMAN. Sebutir perkataan ini pastinya keluar dari mulut sesiapa sahaja yang meneguk cincau Ah Ming. Mana tidaknya, selain rasa sejuk, cincau yang disediakan lengkap dengan rasa manis berlemak
dan begitu menepati selera.

Ekoran itu, gerai cincau milik Teo Soon Ming atau lebih popular dengan panggilan Uncle Ah Ming sentiasa menjadi tumpuan penduduk setempat mahu pun pengunjung luar.

Terletak di Jalan Muhibbah, Bandar Labuan, gerai yang dahulunya dibuka di hadapan Panggung Alfa sudah beroperasi lebih 52 tahun malah harganya juga masih murah.

Menurut Uncle Ah Ming, perniagaan yang dijalankannya itu merupakan hasil titik peluh bapanya selama 10 tahun sebelum dia mengambil alihnya.

“Saya tidak begitu pandai dalam pelajaran, jadi ikut bapa berniaga. Apabila bapa sakit, dia meminta
saya meneruskan perniagaan cincaunya,” katanya sambil menambah kebanyakan pelanggan yang ada masa kini adalah dari zaman bapanya.

Menurut Uncle Ah Ming, ramuan asal air cincau yang dibuat bapanya adalah cincau yang dicampur dengan kacang dan cendol berserta ais hancur.

Katanya, bagi mempelbagaikan jualan di gerainya, dia menambah beberapa bahan lain di dalam air cincau seperti jagung, buah-buahan campuran dan longan.

“Di sini, orang selalu minta cincau kacang hijau, mungkin kerana cincau itu lembut manakala kacang hijau sedikit keras jadi campuran itu sangat enak dimakan bersama,” katanya.

Sebagai penghargaan kepada Uncle Ah Ming yang juga merupakan salah satu tarikan di Labuan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Balai Seni Negara mengabadikan wajahnya bersama 13 mural dan lukisan tiga dimensi (3D) di dinding luaran bangunan berusia lebih satu dekad di sepanjang jalan dari Lorong Tanjung Pasir, Jalan Utama Bandar Labuan sehingga Terminal Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas