Selebriti

Projector Band harap ‘aura’ menjadi

- Diterbit 27 Januari 2020 12:34 PM MYT

KALI pertama muncul dalam arena muzik tanah air sekitar empat tahun lalu, kehadiran Projector Band mendapat sambutan luar biasa kerana penangan single pertama mereka, Sudah Ku Tahu.

Popular menerusi lagu berentak slow rock, mereka berjaya mencuri perhatian dengan mengetengahkan muzik era 90-an yang mendayu-dayu sekali gus membuktikan irama tersebut masih relavan.

Terbaharu, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 31 (AJL 31) ini kembali mempertaruhkan naskah berjudul, Akhirnya Ku Tahu atas permintaan peminat peminat yang telah lama menantikan single ini dilancarkan.

Mengharapkan ‘aura’ yang sama seperti single pertama dahulu, lagu yang dimainkan secara akustik
sebelum dilancarkan secara rasmi ini telah pun mendapat tontonan lebih satu juta di laman YouTube.

Menurut vokalisnya, Iskandar Zulkarnain, mereka mengharapkan peminat menerima kehadiran single terbaru tersebut seperti single pertama mereka dahulu.

“Sambutan juga agak menggalakkan, jika dilihat sebelum ini, peminat sering bertanya dan ternanti-nanti. Pendek kata, ia juga boleh dianggap sebagai hadiah istimewa buat mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, mereka juga masih lagi mempunyai koleksi empat buah single kesinambungan yang menanti masa untuk dilancarkan pada masa akan datang.

“Kalau nak diikutkan, peminat memang suka dengan lagu-lagu tinggi seperti ini dan tidak jemu
menanti hasil karya kami. Mungkin kerana mereka sudah mengenali kami dengan naskah sebegitu,” ujar Iskandar.

Pun begitu, mereka bukan sahaja fokus dengan lagu beridentiti slow rock tetapi turut bereksperimen dengan lagu-lagu rancak bagi mengikuti perkembangan semasa.

Single Akhirnya Ku Tahu mengisahkan percintaan yang terputus di pertengahan jalan selepas wanita yang dicintai berubah sikap dan berlaku curang.

“Lelaki itu cuba untuk melupakan segala kenangan dan berharap selendang yang dihadiahkan oleh bekas kekasih mampu mengurangkan kerinduan di hati. Namun akhirnya sedar, mencintai tidak seharusnya memiliki,” ujarnya.

Cipta lagu penyanyi lain

Hebat dalam penciptaan lagu menerusi gitarisnya, Razif Zainuddin, selain menyumbang lagu buat band sendiri, dia juga turut menghasilkan lagu buat penyanyi lain antaranya penyanyi popular, Aiman Tino.

“Kami juga sering mendapat permintaan daripada kalangan penyanyi yang ingin menyanyikan lagu
ciptaan dari dahulu lagi. Selagi berkelapangan, ia tidak menjadi masalah.

“Selain Aiman, ada beberapa penyanyi baharu yang sedang meningkat naik turut mendapatkan lagu
antaranya Fieya Julia,” ujarnya yang bukan sahaja mencipta lagu malah turut berkebolehan menyanyi.

Band popular ini dianggotai tujuh anak muda iaitu Iskandar Zulkarnain Shafin, 27, (vokalis); Razif
Zainuddin, 28 (gitaris); Muhammad Safiq Zainuddin, 26, (dram) dan Ahmad Khusairi Shaferi, 30, (bass).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas