
Lengkapkan kanak-kanak dengan maklumat jenayah siber
KIRA-KIRA 94 peratus (%) kanak-kanak di Malaysia hari ini adalah pengguna Internet yang aktif di mana ia juga membuatkan golongan kecil ini terdedah kepada jenayah siber yang kian meningkat kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kanak-kanak perlu dilengkapkan dengan maklumat penting dan keyakinan untuk melaporkan sebarang jenayah siber atau insiden yang mereka atau rakan sebaya mungkin hadapi.
“Bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023, saya menggesa kita semua mengambil sedikit masa, ruang dan peluang buat golongan kecil ini diberikan keadilan dan suara mereka didengari.
“Semua pihak perlu memupuk kasih sayang sekali gus membolehkan kanak-kanak dapat merasakan diri mereka dihargai dan dilindungi daripada perbuatan jenayah siber.
“Budaya seperti kanak-kanak diberi kuasa untuk menyuarakan kebimbangan mereka perlu dipupuk dan memberi ruang persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya hari ini.
Azalina berkata Malaysia sudah membawa dan menyuarakan kepentingan keselamatan siber dalam era digital di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, kami komited untuk menyepadukan langkah keselamatan siber yang mementingkan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan warga digital muda kami. Perlindungan mereka adalah penting untuk kejayaan usaha keselamatan siber kami yang lebih luas,” jelasnya pada tahun 2024, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dalam usaha untuk menambah baik sistem Keadilan Kanak-Kanak Malaysia dan melihat lebih banyak keterangkuman digital dalam bidang melindungi kanak-kanak.
Tambahnya bersempena Hari Kanak-Kanak ini, semua pihak diminta untuk mencipta ruang digital di mana golongan kecil bukan sahaja berkembang maju tetapi juga diperkasa dan selamat.
“Dengan menggabungkan pendekatan berpusatkan kanak-kanak ke dalam langkah keselamatan siber kami, kami boleh memupuk generasi individu yang celik digital, yakin dan dilindungi,” ujarnya.
Mekanisme pelaporan kebajikan kanak-kanak yang ada termasuk Talian Kasih (15999), aduan untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan melalui usaha bebas oleh SUHAKAM dan badan bukan kerajaan (NGO), The Childline Foundation di https://www.childlinefoundation.com/report-abuse. – WILAYAHKU