
Bekas CEO MBI Kedah didakwa meminta rasuah RM4 juta
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM 4 juta melibatkan perlombongan nadir bumi (REE).
Tertuduh, Muhamad Sobri Osman, 63 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.
Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Sobri didakwa meminta suapan berjumlah RM4 juta daripada seorang lelaki warga Turki, John Abad Pe di Centara Hotel Hat Yai, di Thailand, pada 20 Mei lalu sebagai dorongan membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd untuk menjalankan usahasama perlombongan REE di Kedah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat tersebut dan MBI Kedah.
Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa menerima suapan berjumlah RM1 juta daripada John Abad Pe melalui Liyana Mamat @ Khalid sebagai dorongan untuk membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usahasama perlombongan REE di Kedah melalui MoU di antara syarikat itu dengan MBI Kedah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan tempat letak kereta Wisma Darul Aman, pada 29 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum mengikut seksyen 24 (1) Akta sama dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh.
Tertuduh yang diwakili peguam Ibrahim Ismail dan Mohammed Zamri Ibrahim dibenarkan diikat jamin RM100,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Januari depan.- WILAYAHKU