Berita

Lebih 1,300 keluarga nikmati minuman probiotik sempena Ramadan 

LIM Siew Ling menyerahkan pek makanan Rezeki Ramadan kepada salah seorang penerima B40.
- Diterbit 25 April 2022 2:47 PM MYT

HASIL kerjasama strategik dirintis Yakult Malaysia Sdn Bhd dengan Islamic Relief Malaysia membolehkan 1,310 keluarga berpeluang menikmati minuman probiotik percuma bersempena Ramadan.

Agihan sumbangan di sembilan negeri itu dijayakan menerusi Program Edaran Pek Makanan Rezeki Ramadan, menyaksikan setiap keluarga penerima dibekal dengan dua pek minuman Yakult Ace dan Yakult Ace Light.

SEBAHAGIAN penerima bantuan hasil sumbangan Yakult dan Islamic Relief Malaysia.

Pengurus Kanan Jabatan Sains dan Perhubungan Awam Yakult, Lim Siew Ling berkata, selain nikmati kebaikan minuman probiotik, semua keluarga turut menerima bantuan khusus iaitu pek makanan Rezeki Ramadan.

Katanya, setiap keluarga di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sarawak menerima barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak, teh, kurma dan lain-lain diedarkan sejak 27 Mac sehingga 17 April lalu.

“Yakult sentiasa berusaha bagi membantu masyarakat serta pengguna meningkatkan tahap kesihatan mereka menjadi lebih baik.

“Memandangkan Islamic Relief Malaysia aktif melakukan kebajikan bagi membantu golongan memerlukan, jadi ia selari dengan falsafah korporat Yakult untuk membantu masyarakat namun fokusnya dalam aspek kesihatan,” katanya dalam siaran media.

Dalam pada itu, edaran minuman probiotik Yakult pada bulan Ramadan dibuat kerana kebanyakan individu cenderung mengalami gangguan penghadaman seperti sembelit disebabkan perubahan corak pemakanan.

Jadi, probiotik Yakult kata Siew Ling dapat membantu mengelakkan ketidakhadaman, sembelit dan kembung perut biasa dialami semasa Ramadan, seterusnya melengkapi sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan sedia ada diedar Islamic Relief Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, sejak COVID-19 dan disusuli banjir, ramai penduduk kini terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan dari mana-mana pihak untuk ringankan beban.

“Jadi, pendekatan ini kami gunakan dengan menggembleng tenaga membantu mereka memerlukan seperti mana telah dilaksana dengan pihak Yakult.

“Islamic Relief Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak kami percaya, kehadiran Yakult bersama dengan sumbangan beserta pek makanan Rezeki Ramadan yang diedar pasti memberi nilai tambah dan membawa kegembiraan yang berganda kepada para penerima manfaat terutamanya golongan B40,” ujarnya.

KAKITANGAN Islamic Relief Malaysia mengedar minuman Yakult kepada sebahagian penerima manfaat pek makanan Rezeki Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Bachok, Kelantan.

Secara keseluruhan, program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia setakat ini telah edarkan pek makanan kepada lebih 6,000 keluarga seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka dengan menyedia juadah berbuka dan bersahur serta bekerjasama dengan pelbagai pihak korporat dan penyumbang individu untuk jayakan program ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas