Berita

Kelab The Musketeers anjur anugerah hargai penggiat dan penggerak sukan

ANTARA penerima Anugerah Putera yang diraikan oleh Kelab The Musketeers.
- Diterbit 25 April 2022 8:57 AM MYT

KELAB The Musketeers hargai penggiat dan penggerak sukan di peringkat komuniti dengan memberikan Anugerah Putera dan Puteri kepada 10 pemain berbakat dalam aktiviti sukan dan permainan ragbi yang dianjurkan oleh kelab tersebut sejak awal penubuhannya pada tahun 2015 lalu.

Menurut Setiausaha Agung Kelab The Musketeers, Muhammad Firdaus Nizamuddin, anugerah penghargaan merupakan budaya yang telah lama diterapkan di dalam setiap pemain Kelab The Musketeers bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada remaja dan kanak-kanak seawal usia empat tahun tentang aktiviti sukan dan riadah.

“Seperti yang kita tahu, kelab ini tidak asing lagi dalam aktiviti kesukanan dan rekreasi khususnya sukan ragbi dan sukan touch melalui Musketeers Rugby dan Musketeers Touch di dalam mahupun di luar negara, kali ini kami telah memberikan anugerah kepada semua pemain berbakat cilik dengan mewujudkan satu bentuk penghargaan iaitu Anugerah Putera Puteri Kelab The Musketeers.

“Anugerah ini menghargai pemain lelaki dan wanita kelab ini yang sangat berbakat dan aktif di peringkat sekolah serta mewakili sekolah mereka di dalam sebarang bentuk kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Selain itu, anugerah ini turut menghargai para pemain dan ibu bapa yang bergiat aktif di sepanjang sesi latihan serta kejohanan yang dianjurkan sama ada di dalam ataupun di luar negara.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa selaku sukarelawan kelab ini turut mendapat pengiktirafan dengan pengurniaan sijil penghargaan selain menghargai jasa jurulatih dan pengurus yang bertungkus lumus memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada semua pemain tanpa rasa jemu di sepanjang aktiviti latihan dan kejohanan yang disertai,” katanya yang turut memaklumkan kelab ini juga telah mewujudkan satu akademi khusus untuk para jurulatih dan pengurus supaya dapat menjaga kebajikan mereka sepanjang mereka menjalankan tugas rasmi pada masa hadapan.

Firdaus memaklumkan objektif mewujudkan aktiviti kesukanan dan rekreasi yang berorientasikan komuniti di peringkat kelab merupakan inisiatif mulia yang boleh disifatkan sebagai salah satu daripada aktiviti untuk mewujudkan masyarakat sihat tanpa mengira latar belakang mereka.

Tambahnya, sempena mesyuarat agung dwitahunan yang diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur pada 2 April lalu, kelab ini telah berjaya mewujudkan satu komiti yang baharu untuk kelangsungan aktiviti kesukanan dan rekreasi yang lebih aktif lagi pada masa hadapan.

“Kami berharap agar sesi latihan pada masa akan datang dapat mengumpulkan lebih ramai peserta dari segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjalani gaya hidup sihat melalui pembudayaan sukan dan rekreasi di peringkat komuniti dan masyarakat setempat,” ujarnya yang turut berharap segala usaha tersebut sentiasa mendapat sokongan daripada semua agensi sama ada kerajaan ataupun swasta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas