Berita

Lebih 10,000 edible plants warnai Laman PPj @ MAHA 2022

MUSTAFA menunjukkan antara tanaman yang dipamerkan di Laman PPj @ MAHA 2022.
- Diterbit 15 Ogos 2022 3:40 AM MYT

BERKONSEPKAN English dan Edible Garden, lebih 10,000 spesies tanaman pokok dan bungaan eksotik dan boleh dimakan (edible plants) mewarnai Laman Perbadanan Putrajaya @ MAHA 2022 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022.

Menurut Pengarah Bahagian Hortikultur Dan Pertanian Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Mustafa Kamal Ismail, pameran di laman berkenaan mempamerkan lebih daripada 30 spesies tumbuhan dengan himpunan kuntum bunga yang berwarna-warni tumbuhan annuals, tanaman renek berbunga dan edible plants.

“Menariknya, English Garden dengan gabungan elemen Smart Education ini turut menyalurkan informasi tanaman seperti nama saintifik, kegunaan dan khasiat tumbuhan yang boleh diakses melalui label kod QR yang telah disediakan.

“Elemen pendidikan seumpama ini sudah tentu dapat menambahkan ilmu dan menarik minat pengunjung yang hadir ke Laman Perbadanan Putrajaya untuk mengetahui jenis-jenis tumbuhan dan bungaan yang ada,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Mustafa berkata English Garden yang dihasilkan dengan elemen Edible Garden itu adalah selaras dengan tema Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 iaitu Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.

Dalam pada itu, pembinaan landskap yang mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya dan Pos Malaysia ini turut menampilkan elemen fauna, termasuk penggunaan kira-kira 300 rama-rama serta alunan pancuran air.

“Laman Perbadanan Putrajaya berkeluasan kira-kira 0.2 hektar ini turut menggunakan elemen kolam buatan, pancuran air, pagar, gerbang arca dan kerusi taman untuk melengkapi Tanaman Hiasan Semusim serta pokok juniper di English Garden bagi memberikan pesona seakan Hyde Park, London,” katanya.

Mustafa turut memaklumkan Laman Perbadanan Putrajaya @ MAHA 2022 merupakan salah satu strategi untuk mempromosikan Festival Royal Floria Diraja Putrajaya yang akan berlangsung bermula 29 Ogos sehingga 4 September ini.

“Untuk edisi 2022 ini, Floria Diraja akan diadakan di tapak kekal acara iaitu di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya yang mempunyai keluasan 29 ekar. Anjung Floria kini telah ditransformasikan sebagai sebuah kawasan bertaman sepanjang tahun dengan pelbagai komponen menarik seperti Taman Persahabatan Malaysia-China, Taman Fantasi, Bustan Inggeris dan Persisiran Heliconia.

“Selepas habis MAHA 2022, kita akan terus bawa semua tumbuhan dan bungaan di sini ke tapak Festival Royal Floria Diraja Putrajaya. Pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan sepanjang tujuh hari berlangsung dengan kemeriahan aktiviti lain seperti demonstrasi gubahan bunga, bengkel terrarium, bengkel ukiran bunga dan daun, acara hiburan serta beberapa sesi bual bicara gubahan orkid, bunga dan reka bentuk taman.

“Seperti yang telah dimaklumkan oleh Presiden PPj, harga tiket adalah RM15 untuk warganegara manakala bukan warganegara ditetapkan sehingga RM100 mengikut lapisan umur,” ujarnya yang turut menetapkan sasaran pengunjung ke festival tersebut adalah sebanyak 200,000.

Tambahnya, pameran Edible Garden ini juga merupakan antara hasil tanaman yang telah diusahakan oleh 15 Kebun Komuniti Putrajaya di bawah kendalian Jabatan Landskap dan Bandar PPj melalui Program Pertanian Bandar Putrajaya (PUF).

Terdahulu, Program Perintis Usaha Sama Pintar Inisiatif Pertanian Bandar (Urban Farming) di antara Perbadanan Putrajaya dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta penglibatan Koperasi Komuniti Penduduk Putrajaya Berhad dilaksanakan selaras dengan objektif Local Agenda 21 Putrajaya.

“Usaha sama ini memanfaatkan tanah-tanah kosong yang terbiar di sekitar Putrajaya dengan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di mana ia memberi pulangan kepada penduduk setempat,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas