Berita

Larian Bendera WP dan Queen’s Baton semarakkan SHWP 2022

THOMAS (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Charles Hay selepas menamatkan Larian Bendera WP dan Queen's Baton di Kompleks Perbadanan Putrajaya, pagi ini. THOMAS (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Charles Hay selepas menamatkan Larian Bendera WP dan Queen's Baton.
- Diterbit 23 Januari 2022 5:26 AM MYT

BERSEMPENA Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 yang berlangsung pada 1 Februari setiap tahun, Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen’s Baton telah dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai @ Thomas berkata acara ini diadakan bagi memeriahkan lagi SHWP 2022.

“Larian Bendera Wilayah Persekutuan (WP) ini diadakan secara khusus bagi memeriahkan SHWP 2022 dan juga menyemarakkan lagi Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang sedang berlangsung sehingga akhir Februari ini,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen’s Baton telah berlangsung sekitar 10 kilometer bermula di Menara Seri Wilayah sebelum berakhir di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada jam 9 pagi tadi.

Beliau berkata Larian Queen’s Baton diadakan sekali memandangkan ia kini berada di Malaysia bersempena dengan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham yang akan diadakan pada 28 Julai sehingga 8 Ogos 2022.

“Putrajaya mengalu-alukan ketibaan Queen’s Baton bersempena Sukan Komanwel 2022 Birmingham ini dan saya dimaklumkan baton ini bakal merakamkan imej di sepanjang laluannya ke 72 negara Komanwel dalam tempoh 294 hari.

“Saya berharap seluruh dunia dapat menyaksikan keindahan Putrajaya dan secara tidak langsung mempromosikan Wilayah Persekutuan menerusi larian yang diadakan ini,” ujarnya sambil menambah acara ini dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Jelasnya lagi seramai 17 atlet dan jurulatih yang pernah merangkul pingat pada Sukan Komanwel dipilih untuk menyertai acara larian ini secara bergilir-gilir di sepanjang lima checkpoint.

Larian ini turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay yang menyerahkan Queen’s Baton kepada TKSU sebagai acara kemuncak pada Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen’s Baton ini.

Sempena SHWP 2022, Thomas berkata KWP menerusi MSWP bakal menganjurkan keseluruhan tujuh Program Sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Antara aktivitinya adalah Sukan Low Carbon (ekstrem), Sepak Takraw, Sukan Paintbal, Futsal, Muaythai dan Karnival Sukan Pantai Labuan.

“Kesemua aktiviti ini akan diadakan sepanjang bulan Februari yang akan datang bagi menyemarakkan SHWP 2022,” jelasnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas