Selera

Lambakan daging Mee Champa curi perhatian ramai

ADAM Nurhafeez (tengah) bersama dua adiknya, Adam Nurharris (kiri) dan Adam Nurhaffiy
- Diterbit 21 Januari 2023 1:00 AM MYT

MEE Champa merupakan makanan popular dari negara Kemboja. Ia sering dijadikan menu utama tatkala majlis keraian seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Sudah tentu keenakannya terletak pada sup yang menggunakan air rebusan daging dan tulang bagi
menjadikan rasanya sebati dan sentiasa dekat di hati pelanggan.

Oleh kerana juadah ini mendapat sambutan masyarakat tempatan, ramai yang turut mengambil peluang untuk berniaga di warung tepi jalan mahupun di pasar malam.

Antara perniagaan Mee Champa yang semakin dikenali adalah Mee Sup Daging Melayu Champa@TheChampKL, Batu Muda, Kuala Lumpur diusahakan oleh Adam Nurhafeez Rosdi, 22,
bersama dua orang adiknya sejak Oktober tahun lalu.

Menariknya, Mee Champa ini menggunakan hampir 90 peratus resipi dari Kemboja yang dipelajari
melalui rakan ibu dan bapanya yang berasal dari negara berkenaan.

Menurut Adam, dia turut menawarkan tiga pilihan menu iaitu regular daging (50 gram), special daging
(80 gram) dan special daging urat keting (100 gram).

“Pelanggan boleh memilih mana-mana menu tersebut dengan pilihan empat jenis mi iaitu
Mee Champa, mi kuning, bihun dan kuetiau berserta lambakan daging yang ditimbang mengikut menu
pilihan.

“Istimewanya hidangan ini datang daripada supnya selain limpahan daging yang lembut memandangkan kami akan merebus ia terlebih dahulu selama beberapa jam.

“Untuk menambah lagi keenakan rasa Mee Champa ini, kami akan sertakan ia dengan hirisan daun sup, bawang goreng, bawang putih yang telah dikisar dan digoreng, taugeh, lobak asin dan daging,” kongsinya kepada Wilayahku.

Tambahnya, pelanggan juga boleh mencampur kesemua jenis mi yang tersedia namun antara mi
yang menjadi pilihan dan mendapat sambutan pelanggan adalah Mee Champa dan bihun.

Tidak lokek meletakkan daging dalam kuantiti banyak bagi setiap hidangan, Adam berkata dia
tidak mahu terlalu memikirkan tentang keuntungan kerana ingin memberi kepuasan kepada pelanggan setanding dengan harga yang ditawarkan.

“Niat saya memang untuk memberi kepuasan kepada pelanggan ketika merasai Mee Champa ini. Jadi soal keuntungan atau kerugian itu tidaklah menjadi keutamaan.

“Walau bagaimanapun, berkat daripada bantuan orang ramai yang menularkan perniagaan kami di TikTok dan Instagram, dalam tempoh empat bulan beroperasi, Mee Champa berjaya dijual sebanyak 350 mangkuk sehari,” ujarnya lagi.

Memandang jauh ke hadapan, dia berhasrat meluaskan rangkaian perniagaannya di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan mahu membuka sebuah kedai bagi memudahkan operasi selain membantu keluarga yang susah.

“Insya-Allah saya sudah merancang ke arah itu supaya pelanggan lebih mudah untuk mendapatkan Mee Champa,” ujarnya yang bercadang untuk berniaga di bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur tahun ini.– WILAYAHKU

INFOGRAFIK : 

Alamat: Jalan 46/10, Kampung Batu Muda, 51100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: 12 tengah hari – 7 petang

Laman sosial: TikTok / Instagram: @thechampkl (CEO MEE)

Harga:
Special Daging + Urat Keting (100 gram) – RM15.90
Special Daging (800gram) – RM14.90
Regular Daging (50 gram) – RM13.90

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas