Berita

Lagu ‘Sandra’ ubati kerinduan peminat Allahyarham Sandra Dianne

Jonathan Tse. Foto: Ihsan Jonathan
- Diterbit 22 Disember 2020 11:45 PM MYT

BEBERAPA hari lalu, genap 100 hari pemergian penyanyi Allahyarham Sandra Dianne. 

Kerinduan terhadap Sandra bagaikan terubat apabila lagu berjudul Sandra dilancarkan.

Walaupun sebelum ini lagu Sandra ciptaan Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub ini tidak sempat diperdengarkan namun ia tetap memberi kesan mendalam terhadap sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik arwah Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini.

“Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberikan kepadanya. Tidak sangka, arwah berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya.

“Jika didengar secara kasar, lagu ini mungkin nampak santai, namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam.

“Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar di mana bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta,” ujarnya.

KOMPOSER lagu Sandra, Jonathan Tse. Foto: Ihsan Jonathan

Bagi Jonathan, lagu Sandra ini juga luas maknanya bergantung kepada cara seseorang menerimanya. Bukan hanya kisah kehilangan seseorang dalam hidup.

“Lagu ini bukan membawa maksud untuk meratapi pemergian orang tersayang itu sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang melakukan refleksi terhadap hal itu.

“Bagaimanapun, elemen kesedihan itu pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta cara penyampaian bait-bait liriknya,” katanya.

Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia pada 11 September selepas terbabit dalam kemalangan  jalan raya.

Ketika itu, Allahyarham sedang bertanding untuk program Big Stage musim Ketiga. 

Sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Sandra.

Lagu Sandra boleh dibeli menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas