Berita

KafeTEEN latih kepimpinan dan tangani masalah sosial

DATUK Seri Rina Harun (tengah) melakukan kejutan menyertai konvoi berbasikal bersama sekumpulan remaja Putrajaya
- Diterbit 22 Disember 2020 6:45 AM MYT

PELBAGAI usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata penubuhan KafeTEEN adalah salah satu cara untuk menangani masalah remaja.

“Kita nak kata selesaikan semua masalah remaja, tidaklah, tapi KafeTEEN ini adalah salah satu cara.

“Ini cara kita mendekati mereka dengan turun ke bawah bersama-sama team dan yang uniknya ahli team ini  juga adalah golongan remaja.

“Mereka yang aturkan program. Selain boleh melahirkan sikap kepimpinan, ini juga cara untuk menyelesaikan masalah sosial di kalangan remaja,” ujar beliau dalam sidang media selepas melancarkan Program #JomChillOut @ KafeTEEN dan Pusat Remaja KafeTEEN ‘mobile’ di kejiranan Fasa B, Presint 8, Putrajaya, baru-baru ini.

MAJLIS pelancaran program #JomChillOut@kafeTEEN disempurnakan oleh Rina (tengah) di Putrajaya

Sebelum majlis pelancaran, Rina melakukan kejutan menyertai konvoi berbasikal bersama sekumpulan remaja Putrajaya dari Kelab Tasik Putrajaya ke lokasi pelancaran. 

Pelancaran program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Mohd. Nizar Zakaria dan Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah.

RINA turut diberi penerangan mengenai penglibatan komuniti FACE Putrajaya dalam menjayakan program ini.

Menurut Rina, banyak manfaat yang boleh diperolehi golongan remaja melalui KafeTEEN. Setakat ini hanya 636,722 remaja mengambil bahagian dalam program itu menerusi 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN yang tetap di 10 buah negeri sahaja.

“Jumlah yang aktif dianggarkan hanya 200,000 orang sejak pusat itu mula diwujudkan pada 2005, walhal banyak manfaat boleh diperoleh remaja termasuk khidmat kaunseling,” katanya yang berharap KafeTEEN dapat memberi peluang kepada lebih ramai remaja terutama kawasan padat penduduk untuk memanfaatkannya.

Program #JomChillOut @kafeTEEN ini akan ditempatkan secara statik selama tiga hari dari 10 pagi hingga 5 petang. Selain pelbagai pengisian dan aktiviti telah disusun, remaja berpeluang bertemu dengan doktor dan kaunselor profesional.

TURUT diadakan adalah pameran mengenai komuniti FACE Putrajaya termasuk penglibatan sukarelawan remaja.

Pusat Remaja KafeTEEN ini terbuka buat semua remaja yang berumur dari 18 hingga 24 tahun. 

Antara pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program #JomChillOut @kafeTEEN ini adalah komuniti setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Bermula November 2019, LPPKN juga yelah melancarkan aplikasi mykafeTEEN bagi memperluaskan capaian maklumat  dan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari instagram @kafeteen.wpkl atau Facebook @Kafeteen Wpkl.

Semoga kemudahan Mobile KafeTEEN ini terus dimanfaatkan oleh golongan remaja demi membina masa depan yang lebih cerah. – WILAYAHKU

Foto: Terima Kasih LPPKN

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas