Berita

Labuan: Ganti paip usang 1.5km secara berfasa

FADILLAH (tengah) ketika melawat tapak projek penggantian paip di Pulau Enoe
- Diterbit 29 Januari 2024 11:43 AM MYT

SEJUMLAH RM7 juta telah diluluskan kerajaan bagi kerja-kerja penggantian paip usang di Pulau Enoe, Labuan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kerja-kerja penggantian melibatkan laluan sepanjang 1.5 kilometer (km) dan dijangka siap pada 2025.

Beliau berkata penggantian paip itu akan dilaksana secara berfasa bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Saya juga sudah berbincang sama ada kita boleh melihat kepada hala tuju projek di Labuan ini untuk mencari sumber lain untuk bekalan air supaya tidak bergantung sangat dengan tanah besar Sabah kerana ia juga mempunyai masalah bekalan.

“Jadi kalau kita dapat melihat kepada sumber lain untuk menyalurkan 100 peratus bekalan air untuk Labuan, itu akan lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan rasmi di Tapak Projek Pemasangan Paip Pulau Enoe baru- baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman; Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Tambah Fadillah, penyelesaian sumber air diteliti bagi menampung keperluan di Labuan, agar tidak bergantung kepada bekalan dari Sabah.

“Memandangkan gangguan bekalan air berlaku sekali-sekala dari tanah besar Sabah, Labuan mesti ada sumber air baharu.

“Saya telah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pembangunan projek bekalan air di Labuan untuk mengenal pasti sumber baharu yang boleh mengurangkan kebergantungan pada Sabah.

“Langkah strategik ini akan memastikan bekalan air yang lebih stabil dan terjamin untuk seluruh pulau,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas