Berita

KWP terus bantu perkukuhkan komuniti tangani COVID-19

ROSIDA menyerahkan sumbangan kepada Komuniti Putrajaya di Bawah Program Wilayah Cakna 3.0 di Dewan Seri Melati, Perbadanan Putrajaya
- Diterbit 29 Oktober 2020 6:31 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) terus komited menyalurkan pelbagai jenis sumbangan bagi memperkukuhkan komuniti melalui inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di dalam usahanya mencegah penularan pandemik COVID-19.

Terkini, insentif bantuan tunai bernilai RM3,000 diagihkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya, selain enam sub zon MPP di bawah kendaliannya bagi menggerak aktiviti komuniti di setiap kawasan.

Selain itu, sejumlah 36 Persatuan Penduduk di Putrajaya turut menerima sumbangan RM2,000 setiap satu, susulan daripada inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0 diumum oleh KWP sebelum ini dalam usaha memperkasakan lagi komuniti bagi mendepani gelombang ketiga COVID-19 ketika ini.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dalam ucapannya menjelaskan, semua inisiatif bantuan dan sumbangan bertujuan meringankan beban golongan sasar rakyat di dalam kelompok B40 yang terpaksa melalui tempoh sukar didalam situasi mencabar.

“Gelombang ketiga penularan COVID-19 ketika ini dianggap kritikal sehinggakan memaksa kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa lokasi.

“Sehubungan itu KWP telah perkenalkan inisiatif Wilayah Cakna 3.0 dengan peruntukan melebihi RM39 juta bagi membantu semua lapisan rakyat termasuk golongan B40, para peniaga dan warga memerlukan,” katanya dalam majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Komuniti Putrajaya di bawah Program Wilayah Cakna 3.0 di Dewan Seri Melati, Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, dalam majlis sama, KWP bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) turut serahkan 1,000 baucar Food Pack bernilai RM100 setiap satunya daripada Coopmart untuk diagihkan oleh MPPWP kepada setiap isi rumah di dalam kategori asnaf dan golongan B40.

Inisiatif prihatin dilaksanakan melalui pelbagai bantuan dan sumbangan terus diperluaskan lagi mencakupi setiap lapisan penerima apabila KWP dan PPj turut menyerahkan peralatan pendidikan seperti tablet, meja dan kerusi belajar, rak buku selain education games dan exercise mat bernilai RM20,000 kepada empat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya untuk kegunaan anak-anak istimewa di setiap PPDK yang beroperasi Presint 9, 11, 12 dan 14, melibatkan 132 kanak-kanak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas