Berita

KWP segerakan vaksinisasi untuk masyarakat

- Diterbit 1 Jun 2021 4:24 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) merancang menyegerakan proses vaksinisasi kepada masyarakat.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Wilayah Persekutuan akan menggunakan segala daya usaha untuk menyegerakan proses vaksinisasi.

Sebelum ini beliau mengumumkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wilayah Persekutuan selepas 360 klinik swasta sudah mendaftar bagi tujuan tersebut.

Selain itu, KWP turut menyediakan sebanyak 40 buah trak bergerak untuk membantu menjayakan program vaksinisasi berkenaan.

“Sebanyak 360 klinik swasta dalam Wilayah Persekutuan sudah mendaftar untuk dijadikan PPV dan 273 daripadanya sudah menerima surat anugerah (LOA).

“Selain itu, 40 ‘mobile trucks’ sedang dipersiapkan. Sasaran untuk capai tiga kali ganda kadar sekarang. Semoga ALLAH permudahkan,” kata Annuar menerusi Twitternya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan pembabitan PPV di fasiliti swasta bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi untuk sampai kepada semua masyarakat di seluruh negara dengan lebih menyeluruh.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas