Berita

KWP Beri tumpuan bangunkan kawasan rizab Melayu

- Diterbit 2 Mac 2021 9:31 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi tumpuan khusus dalam merancang pembangunan prasarana di kawasan rizab Melayu supaya kawasan tersebut tidak ketinggalan daripada arus pembangunan pada masa depan.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan memberi penekanan supaya kawasan rizab Melayu yang ada di kawasan Kuala Lumpur seperti di Kampung Sungai Penchala, Segambut dan Kampung Datuk Keramat akan diberi penekanan untuk menaiktaraf infrastruktur bagi mengimbangi dengan pembangunan di sekeliling kawasan tersebut.

“Biasanya berlaku tidak keseimbangan pembangunan antara kawasan rizab Melayu dan di luar kawasan rizab Melayu. Kawasan luar rizab Melayu pelaburan swasta banyak, kemudian kerajaan pula meningkatkan prasarana dan pemilik tanah pula memajukan hartanah masing-masing.

“Sementara di kawasan rizab Melayu pemilik tanah tidak membuat pelaburan atau tidak mahu membangunkan tanah mereka, maka prasarana juga tidak dinaik taraf dan akhirnya ia menjadi kampung-kampung yang tertinggal di dalam bandar.

“Jadi, saya mahu jabatan yang merancang termasuk DBKL, pejabat tanah dan agensi yang berkaitan untuk mengubah pendekatan dengan memberi tumpuan khusus pembangunan di kawasan rizab Melayu dan di kampung-kampung tradisi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kampung Sungai Penchala hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan di Kampung Sungai Penchala, Annuar berkata beliau akan minta supaya kawasan itu tidak tertinggal dalam penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 supaya pembangunan Sungai Penchala dapat dirancang ke hadapan.

“Soal kepadatan penduduk, plot ratio dan pengezonan akan dilihat semula supaya Sungai Penchala mempunyai potensi bagi kawasan tertentu terutama bagi kawasan jajaran lebuh raya agar ia dapat dibangunkan secara lebih menguntungkan tuan tanah,” katanya – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas