Berita

KWP beri perhatian titah Sultan Selangor mahu Kampung Baru dibangunkan dengan sebaik-baiknya

KAMPUNG BARU. - Gambar hiasan
- Diterbit 25 November 2019 8:08 AM MYT

ONLINE

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meletakkan harapan yang besar untuk menyempurnakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan Kampung Baru dibangunkan dengan sebaik-baiknya di samping mengekalkan elemen dan ciri-ciri kemelayuannya.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, kementeriannya juga akan memberi perhatian khusus ke atas titah Sultan Selangor yang mahukan lokasi bersejarah di Kampung Baru seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman dikekalkan dan dipulihara sepenuhnya.

Beliau berkata, langkah itu supaya lokasi bersejarah itu dapat diwarisi dan diketahui generasi akan datang mengenai sejarah kewujudan Kampung Baru.

”Kementerian akan mengambil berat titah Sultan Selangor supaya nama Kampung Baru itu sendiri dikekalkan termasuklah nama-nama jalan yang telah diletakkan nama-nama salasilah Kesultanan Selangor dan tokoh-tokoh penting yang telah terlibat di peringkat awal kewujudan Kampung Baru,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 21 November lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima Khalid menghadap baginda bersama-sama pegawai-pegawai kementerian dan agensi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.

Khalid menjelaskan, pertemuan selama hampir dua jam itu telah memberi ruang kepadanya untuk melaporkan kepada Sultan Selangor berhubung beberapa perkara berkaitan cadangan pembangunan semula Kampung Baru dan isu berkaitan status Malay Agricultural Settlement (MAS).

Beliau berkata, kementeriannya turut mengambil maklum titah baginda yang menyatakan keadaan Kampung Baru ketika ini tidak lagi kondusif untuk kehidupan moden dan selesa sedangkan kawasan sekitarnya telah dibangunkan dengan pesat sekali gus menjadikan kawasan tersebut kelihatan ketinggalan.

”Saya bagi pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan lafaz penghormatan yang tiada terperinya kepada Sultan Selangor yang telah sudi melapangkan masa untuk kami menyampaikan warkah sembah maklum tersebut.

”Kementerian sememangnya mengambil maklum bahawa wujudnya sejarah yang panjang di antara Kampong Bharu dan Kesultanan Selangor. Dengan keprihatinan dan pandangan jauh Kesultanan Selangor pada 1899, maka terwujudnya Kampung Baru sebagai penempatan orang Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

”Oleh yang demikian, Kementerian semestinya akan memberi perhatian khusus terhadap segala pandangan DYMM Sultan terhadap Kampung Baru,” katanya.

Khamis lalu, Selangor Royal Office dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar kawasan Kampung Baru dibangunkan semula.

Katanya, langkah itu seiring dengan kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur supaya kawasan tradisi orang Melayu itu terus relevan.

”Baginda turut menekankan peri-pentingnya susur galur sejarah Kampung Baru dipelihara, termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan,” kata kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Kenyataan itu berkata, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di Istana Bukit Kayangan di sini pada petang Khamis (21 November).

Turut menyertai rombongan beliau adalah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang.

Kata Selangor Royal Office, pada pertemuan itu, Khalid dan PKB telah menyembahkan kepada baginda pelan pembangunan semula Kampung Baru dan isu-isu semasa yang berkaitan dengannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas