Utama

Kuota internet tambahan percuma, pulangan tunai sempena Aidilfitri

INISIATIF itu disediakan secara kerjasama strategik antara KKD melalui SKMM dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
- Diterbit 18 April 2023 9:00 AM MYT

PENGGUNA pakej prabayar Maxis, CelcomDigi, Unifi Mobile, Umobile dan YES akan menikmati kuota Internet tambahan percuma dan pulangan tunai sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tempoh tertentu hingga 31 Mei 2023.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pengguna pakej prabayar Maxis akan menikmati kuota tambahan 100 gigabait (GB) menerusi pelan Internet HotlinkMU sepanjang tempoh sah laku pas yang dibeli, dan tawaran itu sah sehingga 15 Mei depan.

“Bagi pengguna CelcomDigi, mereka bakal menerima kuota tambahan pelan video HD 555GB bernilai RM5 khusus bagi melayari video dengan tempoh sah laku selama empat hari dan tawaran itu juga sah hingga 15 Mei depan.

“Selain itu, pengguna Unifi Mobile pula akan menerima pulangan tunai RM5 dengan pelan Internet prabayar 4G/5G manakala Unifi Mobile turut menawarkan data 4G dan 5G serta panggilan tanpa haf berharga RM35 selama 30 hari dan sah sehingga 5 Mei depan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Fahmi turut memberitahu pengguna Umobile juga akan ditawarkan bonus kuota internet 10GB menerusi pelan Pakej Perpaduan yang sah sehingga 31 Mei depan.

“Manakala, pengguna YES pula menikmati kuota internet tambahan sebanyak 44GB dengan tempoh sah laku selama tujuh hari yang sah sehingga 15 Mei depan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Fahmi berkata inisiatif itu disediakan secara kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.

“Kemudahan yang disediakan tertakluk kepada terma dan syarat syarikat penyedia perkhidmatan. Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Usaha kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat ini juga adalah selari dengan konsep RAHMAH dalam meringankan kos sara hidup serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna pakej prabayar sempena musim perayaan ini,” tambah beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas