Berita

Diskaun Khas buat pengusaha Menu Rahmah

MENU Rahmah yang diperkenalkan adalah serendah RM5.
- Diterbit 18 April 2023 10:25 AM MYT

PENGUSAHA Menu Rahmah kini boleh menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif khas yang disediakan buat mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan cakna dengan sumbangan pengusaha Menu Rahmah dan prihatin akan kos pengeluaran yang meningkat.

“Pemberian diskaun khas akan diberikan kepada pengusaha Menu Rahmah di pasar raya terpilih bermula pertengahan bulan Mei ini.

“Kementerian yakin melalui insentif khas itu, pengusaha-pengusaha terlibat akan terus menyediakan Menu Rahmah kepada pengguna secara berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Salahuddin berkata insentif ini juga dijangkakan akan menggalakkan lagi lebih ramai pengusaha restoran untuk menyertai Inisiatif Menu Rahmah.

“KPDN akan memperluaskan Insentif Diskaun Khas Pengusaha Menu Rahmah ini kepada pembekal-pembekal bahan mentah melalui sesi libat urus yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Oleh yang demikian, kementerian ingin menyeru lebih ramai pengusaha untuk menyertai Inisiatif Menu Rahmah dengan mendaftar menerusi laman sesawang http://menurahmah.kpdn.gov.my/,” ujar beliau.

Ujarnya lagi, pelaksanaan Inisiatif Menu Rahmah yang diterajui oleh KPDN sejak 31 Januari 2023 ini telah mendapat sokongan yang amat menggalakkan dengan penyertaan pengusaha makanan dan juga pengguna.

“Sehingga 15 April 2023, sebanyak 1,706 pengusaha Menu Rahmah telah mendaftar di portal Menu Rahmah dengan penyediaan menu makanan yang seimbang dan berkhasiat pada harga di bawah RM5,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas