Berita

“Kuatkan Iman, Jangan Bersendirian Ketika Sedih” – SCHA ELINNEA

|SCHA Elinnea berharap setiap orang memainkan peranan dalam mengurangkan kes cubaan bunuh diri.
- Diterbit 18 Ogos 2020 5:40 AM MYT

BUNUH diri atau cubaan bunuh diri disebabkan tekanan bukanlah perkara main-main. 

Kes ini bagai tiada kesudahannya apabila sering berlaku dalam masyarakat kita. Apatah lagi ada sesetengah kes cubaan bunuh diri tidak direkodkan.

Pelakon muda Scha Elinnea mengaku turut berasa bimbang kerana kebanyakan kes melibatkan golongan muda.

“Tidak dinafikan, saya pernah dengar kes cubaan bunuh diri dalam kalangan orang muda yang tertekan kerana masalah yang dihadapi.

“Tekanan yang mereka hadapi disebabkan masalah ekonomi, keluarga, akademik, cinta dan sebagainya, tidak boleh dipandang remeh. Ia tidaklah semudah yang disangka. 

“Bunuh diri bukanlah satu jawapan atau cara penyelesaian kepada setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan,” katanya kepada Wilayahku.

SCHA Elinnea berharap setiap orang memainkan peranan dalam mengurangkan kes cubaan bunuh diri.

Bagi Scha, pasti ada cara tertentu yang boleh membantu mereka daripada terfikir untuk membunuh diri. 

“Paling penting, kuatkan iman dengan mendekatkan diri kepada Allah. Dialah sebaik-baik tempat kita mengadu.

“Selain itu, setiap daripada mereka memerlukan pendengar yang baik untuk menjadi tempat meluahkan perasaan. 

“Pendengar yang baik boleh terdiri daripada orang yang mereka percaya seperti ahli keluarga, teman, rakan sekerja, kekasih dan sebagainya. 

“Bukan itu sahaja, sesiapa yang tertekan jangan bersendirian ketika sedih. Lakukanlah apa sahaja aktiviti positif untuk meringankan tekanan tersebut.

“Misalnya cari satu hobi baharu yang boleh mengurangkan tekanan seperti menonton filem di platform digital, karaoke, bercuti dan banyak lagi. Buatlah apa pun asalkan hati bahagia,” jelas Scha Elinnea atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen,21.

Scha akan muncul dalam drama bersiri Juliet, Cinta Yang Pulang, Cinta 24 Jam dan Dayang Senandung. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas