Berita

Sukan SEA: Vietnam dijangka beri cabaran sengit – PSM

- Diterbit 18 Ogos 2020 7:20 AM MYT

TUAN rumah Sukan SEA ke-31, Vietnam dijangka memberikan cabaran sengit dalam kedua-dua kategori, lelaki dan wanita bagi acara sepak takraw pada temasya sukan dwitahunan itu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail berkata ia berikutan di kala skuad wanita Vietnam sudah menjadi pencabar pingat bersama Thailand, skuad lelaki negara itu juga sedang menunjukkan peningkatan untuk menjadi pencabar utama kepada Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Difahamkan lebih kurang lapan acara dicadangkan untuk dianjurkan di Hanoi, tahun depan. Acara seperti regu berpasukan, regu, team double, double, team quadrant, quadrant, hoop dan acara campuran bakal dipertandingkan, tetapi belum ada pengesahan (manakala chinlone juga dirayu untuk dimasukkan).

“Pada Sukan SEA lalu, pasukan wanita kita mampu memberi saingan sengit kepada Vietnam sebelum tewas kerana kesilapan sendiri. Tetapi kita tidak boleh memandang rendah pasukan lelaki Vietnam yang sedang menunjukkan peningkatan, lebih-lebih lagi apabila menjadi tuan rumah. Difahamkan pada waktu COVID-19 pun mereka berlatih siang dan malam,” katanya kepada Bernama.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Malaysia membawa pulang dua pingat perak menerusi acara regu lelaki dan regu berpasukan lelaki serta gangsa melalui regu wanita daripada enam acara dipertandingkan, manakala pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih dua emas, tiga perak dan enam gangsa daripada 12 acara.

Mengulas lanjut mengenai persediaan ke Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022 di China, Ahmad berkata pihaknya akan menentukan sasaran dan perancangan yang lebih rapi selepas menganalisis tahap kekuatan dan kelemahan skuad negara berbanding pasukan lawan.

“Kita memerlukan sekurang-kurangnya satu kejohanan antarabangsa untuk menilai kerana kejohanan dan latihan tertangguh akibat pandemik COVID-19. Berdasarkan kejohanan, pengarah teknikal kita (Abdul Talib Ahmad) dan barisan jurulatih akan bertangungjawab merangka strategi dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata buat pertama kali, PSM bakal menubuhkan skuad B (pelapis) wanita pada Januari 2021 dalam usaha meningkatkan prestasi pemain menerusi persaingan sihat apabila adanya lebih banyak kumpulan pemain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas