KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Menurut KPM, ia penting bagi memerangi rasuah yang merupakan salah satu daripada daripada agenda utama reformasi negara.
“Sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, KPM bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya di bawah Substrategi 5, NACS 2024-2028, KPM telah berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024 sebagai pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid yang berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.
“Kit Duta Sahsiah juga adalah selaras dengan fokus utama Kementerian pada tahun 2025 untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.
“Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ terkandung dalam Kit Duta Sahsiah,” katanya.
Tambahnya Duta Sahsiah yang dipilih adalah suri teladan untuk mempromosi serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab. – WILAYAHKU