Berita

KPKT tambah baik kebenaran merancang

- Diterbit 31 Mei 2023 9:30 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah proaktif untuk menambah baik proses permohonan kebenaran merancang terutama melibatkan sektor industri, dalam usaha memudah cara perniagaan.

Antara perkara yang diberi keutamaan dalam penambahbaikan itu adalah kajian untuk mengurangkan serta memendekkan tempoh proses permohonan di dalam OSC 3.0 Plus, termasuk cadangan pindaan tempoh masa bagi pemajuan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengurangan protokol dan prosedur itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain mematuhi semua perundangan berkaitan.

“Antara inisiatif yang dipertimbangkan untuk mempercepat proses permohonan kebenaran adalah pelaksanaan proses Prasyarat, Prarundingan dan Semakan Teknikal yang lebih teratur dan bersepadu.

“Ia dilaksanakan secara dalam talian melalui modul baharu yang akan ditambah baik ke dalam Sistem OSC 3.0 Plus Online sebelum mengemukakan permohonan rasmi kepada OSC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, inisiatif Peraturan Kendiri turut diperkenalkan dengan Orang Utama Yang Mengemukakan (PSP) diberi kuasa dan tanggungjawab untuk mengesahkan semua peraturan dan keperluan teknikal sesuatu permohonan telah dipatuhi, khusus kepada kerja ubah suai dan permohonan dalam kategori kebenaran merancang Kecil.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga melaksanakan langkah untuk memudah cara kelulusan bagi permohonan pelan pemajuan dan permit pembinaan, termasuk menerusi inisiatif E10 yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Kulim serta Kulai Fast Lane (KFL) oleh Majlis Perbandaran Kulai.

Ia adalah usaha rintis dalam mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan di kawasan yang telah dikhaskan atau dizonkan sebagai zon industri, katanya.

“Inisiatif itu bertujuan memudah cara proses pelaburan dan perniagaan melalui perancangan awal serta menyediakan platform interaksi yang lebih cekap antara pelabur dan PBT.

“Sebaik sahaja ia diperhalusi, inisiatif ini akan diseragamkan dan dijadikan kaedah untuk diperluaskan pelaksanaannya oleh PBT yang lain,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas