Berita

Korban COVID-19 di Brazil cecah 126,650, kawasan pantai jadi tumpuan sempena cuti Hari Kemerdekaan

- Diterbit 7 September 2020 3:08 AM MYT

BRAZIL pada Ahad mencatatkan 447 lagi kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka korban keseluruhan mencecah 126,650.

Sementara itu ribuan penduduk dilaporkan memenuhi kawasan pantai dan rekreasi lain pada hujung minggu yang panjang sempena cuti Hari Kemerdekaan.

Hari Kemerdekaan Brazil jatuh pada 7 September lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Kesihatan melaporkan 14,521 kes jangkitan dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,137,521 sejak wabak mula dikesan.

Di negeri tenggara Sao Paulo, yang paling teruk terjejas dan mempunyai penduduk teramai, kurang 40 peratus penduduk menghabiskan masa duduk di rumah, lapor rangkaian televisyen Globo.

Kira-kira 200,000 kenderaan berada di atas jalan raya yang menghubungkan Sao Paulo, dengan pantai seperti Santos, Guaruja, Sao Sebastiao dan Ubatuba.

Orang ramai turut bersesak di pantai Copacabana dan Ipanema yang terkenal di Rio de Janeiro, walaupun perintah larangan berikutan wabak COVID-19 dikenakan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas