Berita

KOPETRO lancar cawangan pertama ArRahnukita di Sungai Besi

SEKITAR suasana Majlis Perasmian ArRahnuKita di Medan Tasik Damai, Sungai Besi, Ahad lepas.
- Diterbit 4 November 2022 4:00 AM MYT

KOPERASI Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah merasmikan cawangan pertama ArRahnukita yang terletak di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah menzahirkan rasa syukur dan menganggap ianya sebagai hadiah paling bermakna buat seluruh warga KOPETRO memandangkan hari tersebut adalah hari ulang tahun penubuhan KOPETRO yang ke-42.

“ArRahnukita merupakan sebuah premis perniagaan pajak gadai emas patuh syariah milik KOPETRO yang mula beroperasi sejak 8 Ogos lalu.

“Kejayaan perniagaan ini juga adalah bukti komitmen KOPETRO dalam memberikan pulangan yang menguntungkan kepada anggota-anggota dengan melipat-gandakan pendapatan syarikat seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,” ujar beliau dengan penuh perasaan gembira.

Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti juga diadakan buat tetamu dan pelanggan yang hadir antaranya ujian dan cucian emas secara percuma dan jualan promosi produk-produk keluaran KOPETRO.

“Jualan promosi produk-produk keluaran KOPETRO itu meliputi makanan sedia dimakan jenama LengQuas, minyak pelincir jenama PETRONAS dan pakej percutian dan pelancongan yang ditawarkan KOPETRO Travel.

DATUK Zazali Haron (tengah) menerima cenderahati daripada Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim.

“Selain itu, 100 pengunjung pertama atau terawal menerima beg saguhati dan 20 penggadai pada hari ini juga turut dihadiahkan dengan barangan eksklusif ArRahnukita sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan mereka menggunakan perkhidmatan ini,” katanya yang turut memaklumkan
lebih 200 pengunjung telah hadir memeriahkan majlis tersebut.

Sehubungan dengan kejayaan perasmian ini, Ahmad Shakir memberitahu selepas cawangan di Sungai Besi, ArRahnukita bakal membuka tiga buah lagi cawangan pada tahun hadapan dengan
mensasarkan kawasan perniagaan di Ampang, Bangi dan Shah Alam sebagai kawasan pilihan.

“Bagi mana-mana pihak yang ingin mengetahui kadar emas harian dan promosi terkini daripada ArRahnukita, boleh layari laman Facebook dan Instagram, @ ArRahnukita atau hubungi talian
03-9055 9839 untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini.

Terdahulu, majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Zazali Haron dan turut dihadiri oleh wakil-wakil SKM serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas