Berita

KOPETRO agih bantuan barangan elektrik kepada mangsa banjir Pantai Timur

|
- Diterbit 1 Februari 2021 7:30 AM MYT

KOPERASI Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO), menyampaikan sumbangan berbentuk barangan elektrik kepada mangsa banjir di kawasan Pantai Timur, pada Jumaat lepas (29 Jan).

Setiausaha KOPETRO Datuk Abdul Razak Hussain berkata, ia merupakan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Jawatankuasa CSR Koperasi (JCSRK) 2021.

Usaha itu diambil dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), dan ia merupakan sebahagian daripada program bantuan dan sumbangan sepanjang tahun KOPETRO, kepada mereka yang memerlukan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit kegembiraan dan meringankan beban mereka yang ditimpa musibah banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bantuan telah disampaikan pada majlis yang ringkas mengikut tatacara norma baharu oleh Abdul Razak kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Haron, serta Pengarah Bahagian Promosi dan Penggalakan Koperasi SKM Amran Abd Kadir.

Penyerahan bantuan itu telah berlangsung di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bukit Damansara, di sini, Jumaat lepas.

Turut hadir Naib Setiausaha KOPETRO Hafida Hassan dan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat KOPETRO Ahmad Hazil Abd Lateff. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas