Berita

“Anugerah bermakna buat saya dan arwah suami” – Nora kini bergelar Datuk

- Diterbit 1 Februari 2021 7:22 AM MYT

PENYANYI Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apabila menjadi antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Nora menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa kepada gelaran Datuk. 

Menerusi instagramnya, Nora menyatakan anugerah ini adalah hadiah bermakna buat dirinya dan arwah suaminya, komposer Johan Nawawi.

“Patik merafak sembah dan menjunjung  kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan kurniaan ini.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di atas pengiktirafan yang diberi. 

“Sejujurnya saya amat bersyukur pada Allah swt, terharu, teruja dan gembira di atas penganugerahan ini. 

“Ia adalah anugerah dan hadiah yang amat bermakna untuk saya dan juga arwah suami tercinta Johan Nawawi,” tulis pelantun lagu Di Persimpangan Delima ini.

Bagi Nora, tanpa sokongan orang di sekeliling, media dan peminat, beloau tidak sampai ke tahap sekarang.

“Saya dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih kepada anak-anak tercinta, keluarga,  saudara mara, sahabat sahabat, peminat-peminat dan semua pihak media yang telah memberi ucapan, sokongan dan doa kepada saya. 

“Ini adalah satu amanah, tanggungjawab dan peniup semangat untuk saya terus aktif bergiat dalam bidang seni budaya,” ujarnya lagi. 

Selain Nora, komposer, pengarah serta penyanyi Yusry Abdul Halim dan penulis lirik Habsah Hassan juga turut menerima anugerah yang sama. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas