Utama

KOOP SAHABAT sasar pembukaan lima cawangan Klinik Sahabat

TAN Sri Noh Omar (kanan) bersama Pengarah Sahabat Amanah Ikhtiar Healthcare Sdn Bhd, Dr Mohamed Ibrahim Nagoor Gany (dua kiri) dan Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor (dua kanan) ketika lawatan klinik pada Majlis Perasmian Klinik Sahabat.
- Diterbit 15 Ogos 2022 4:03 AM MYT

KOPERASI Sahabat Amanah Ikhtiar MalaysiaBerhad (KOOP SAHABAT) mensasarkan pulangan pendapatan sebanyak RM6.5 juta menerusi pembukaan lima cawangan Klinik Sahabat di bawah kendalian anak syarikatnya, Sahabat Ikhtiar Healthcare Sdn Bhd (SIHSB) menjelang hujung 2023.

Pembukaan lima cawangan Klinik Sahabat meliputi kawasan di Lembah Klang dan Borneo termasuk Petaling Jaya; Semenyih; Kajang; Kota Kinabalu, Sabah serta Miri, Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata kemampuan KOOP SAHABAT untuk menceburi bidang kesihatan membuktikan koperasi tidak lagi terikat dalam satu sektor perniagaan seperti peruncitan sahaja.

Katanya, Koperasi diharapkan dapat menceburi pelbagai bidang hingga ke peringkat antarabangsa sekaligus bersaing dengan sektor swasta dalam pelbagai sektor perniagaan dan perkhidmatan agar dapat memanfaatkan semua lapisan masyarakat termasuk ahlinya.

“KOOP SAHABAT mengambil dan menyusun langkah strategik perniagaan lebih baik dengan mengambil satu langkah ke hadapan apabila menceburi perkhidmatan kesihatan dengan membuka Klinik Sahabat dan dapat beri manfaat kepada masyarakat”.

“Saya juga bakal mencadangkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadikan Klinik Sahabat sebagai panel.

“Selain itu, bagi ahli koperasi KOOP SAHABAT dan koperasi yang datang mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Sahabat ini juga akan mendapat potongan harga sebanyak 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Cawangan Pertama Klinik Sahabat, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor dan Pengarah Sahabat Amanah Ikhtiar Healthcare Sdn Bhd, Dr Mohamed Ibrahim Nagoor Gany.

Sementara itu, Mohd Najib berkata sasaran tersebut dibuat dengan mengambil kira sambutan menggalakkan dengan pembukaan cawangan pertama Klinik Sahabat di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.

“Pembukaan lima cawangan Klinik Sahabat meliputi kawasan di Lembah Klang dan Borneo seperti Petaling Jaya, Semenyih, Kajang, Kota Kinabalu, Sabah serta Miri, Sarawak.

“KOOP SAHABAT merupakan koperasi pertama yang menerajui perkhidmatan kesihatan melalui pembukaan Klinik Sahabat apabila melihat peluang luas bagi mengembangkan bidang perniagaanya untuk manfaat lebih 481,000 anggota diseluruh negara,” katanya.

SIHSB melalui perancangan pelan strategik berhasrat untuk mempelbagaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui pembukaan Pusat Perubatan Wanita & Kanak-kanak, Medispa dan Pusat Dialisis pada masa akan datang.

Melalui Klinik Sahabat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan ini, KOOP SAHABAT berhasrat untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta ruang pendidikan kepada masyarakat yang berminat terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan.

KOOP SAHABAT bakal memasuki usia 10 tahun penubuhanya pada Ogos ini mempelawa orang ramai dan masyarakat setempat untuk memanfaatkan tawaran sempena pembukaan rasmi cawangan pertama Klinik Sahabat dengan mendapatkan diskaun harga konsultasi untuk sebarang jenis rawatan sehingga hujung bulan ini.

Sebagai rekod, KOOP SAHABAT adalah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 481,000 anggota di seluruh negara yang terdiri daripada usahawan wanita B4O.

KOOP SAHABAT juga disenaraikan sebagai koperasi kelima terbaik Malaysia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 2021.

Perniagaan KOOP SAHABAT kini meliputi perniagaan dalam Perkhidmatan Kewangan seperti Ar Rahnu, Pembangunan Hartanah, Pelaburan Korporat, Pelaburan Strategik serta pelaburan didalam ekuiti awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas