Selebriti

Aizat Amdan, Elyssa selamat nikah dengan sekali lafaz

PENYANYI, Aizat Amdan selamat dinikahkan dengan pasangannya, Ellysa Alia Illias dengan sekali lafaz , pagi ini.
- Diterbit 14 Ogos 2022 4:40 AM MYT

PENYANYI Popular, Aizat Amdan atau Muhammad Aizat Amdan,33 selamat bernikah dengan wanita pilihannya yang juga merupakan pengurus, Elyssa Alia Illias,34 dengan sekali lafaz di A-Park, Puchong, Kampung Pulau Meranti pada pagi Ahad.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moiden dan disaksikan jurunikah Idrus Mohd Shahlan serta seluruh ahli keluarga.

Pada majlis itu, Aizat menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada pengantin perempuan tetapi jumlah wang hantarannya dirahsiakan.

Pengantin lelaki menerima lima dulang hantaran berbalas tiga untuk pengantin perempuan.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini ketika ditemui meluahkan rasa syukur kerana majlis pernikahan yang dianjurkan berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

“Syukur semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Paling gembira, selepas dua tahun akhirnya keluarga dapat berkumpul semula di majlis bahagia kami.

“Ini fasa baharu dalam hidup saya, apa jua tindakan dan keputusan yang dilakukan tidak boleh memikirkan diri saya sahaja sebaliknya mendapat persetujuan dan berbincang bersama isteri saya juga,” kongsinya kepada Wilayahku.

Ditanya mengenai detik perkenalan, Aizat berkongsi dia dan Elyssa mula bertegur antara satu sama lain apabila mereka saling berbalas hantaran di Instagram story (ig story) mengenai makanan dan saling berkongsi resipi bersama.

Bagi Elyssa pula, keperibadian Aizat terutama dari segi agama membuatkan dirinya tertarik dan yakin bahawa Aizat adalah lelaki yang boleh membimbingnya dan menjaganya dengan baik.

Ditanya pula tentang lokasi berbulan madu, Aizat dan Ellysa merancang ke Telum, Mexico kerana destinasi tersebut adalah impian mereka.

“Saya akan ke Los Angeles untuk memasarkan album terbaharu pada November ini dan Insya-Allah selepas itu akan berbulan madu.

“Tulum adalah sebuah kawasan yang cukup cantik dan tenang. Kami berdua sangat sukakan suasana pantai jadi kami rasa ia adalah lokasi terbaik dan boleh memberi ilham kepada saya,” jelasnya.

Terdahulu, pengantin perempuan telah dirisik oleh keluarga Aizat pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis ringkas yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas