Selebriti

Konsert Patah Hati bukan hanya tentang cinta

|||
- Diterbit 24 Januari 2023 3:46 AM MYT

Ramai beranggapan Konsert Patah Hati adalah untuk mereka yang putus atau kecewa dalam percintaan.

Jangan cepat membuat andaian. Konsert Patah Hati anjuran ANS Diversified Sdn. Bhd., yang bakal berlangsung pada 15 Mac 2023, di The Zepp Kuala Lumpur.

Pengarah Projek konsert, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, konsert yang ulung kali dikendalikan oleh ANS Diversified itu bakal menampilkan Ernie Zakri, Noh Salleh, Naim Daniel, Aisha Retno, Inssomniacs dan Nastia.

Artis-artis yang terbabit adalah kombinasi artis solo dan berkumpulan dan masing-masing mempunyai jutaan pengikut di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

“Sesuai dengan namanya, Konsert Patah Hati, persembahan hebat ini akan menampilkan lagu-lagu cinta pelbagai genre yang menyentuh perasaan. Ia bukan sahaja lagu hit masa kini tetapi juga lagu hit sepanjang zaman dalam versi segar.

“Sebenarnya Patah Hati bukanlah mengenai cinta saja, tapi kita ambil inspirasi daripada kehidupan dan apa yang berlaku dalam zaman sekarang.

“Sebagai contoh, kita ramai kehilangan saudara mara atau adik-beradik masa pandemik dan membuatkan masing-masing terkesan.

“Mungkin yang lain ada patah hati pasal kerjaya, perniagaan dan sebagainya. Itu sebenarnya, patah hati juga bukan sekadar cinta semata-mata,” jelasnya tentang maksud di sebalik judul konsert berkenaan.

Katanya lagi, pada malam konsert kelak, artis-artis akan diiringi tujuh pemuzik profesional dan dua penyanyi latar di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Shahakam Mokhtar.

“Ia akan diperindahkan dengan mainan audio visual dan teknik pencahayaan yang menarik. Kami yakin kesemua artis yang terlibat dengan konsert ini tiada masalah untuk beraksi secara live kerana setiap mereka mempunyai pengalaman di pentas.

“Ernie Zakri, Noh Salleh dan Naim Daniel pernah beraksi dalam banyak konsert dan acara besar seperti Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Aisha Retno pula sangat kreatif dan energetik apabila di pentas dan baru saja melancarkan single terbahaunya, I Love Sadness More.

“Insomniacks dianggotai tiga anak muda, Iqie, Iskandar dan Danial pula hebat dengan single Pulang yang menjadi juara carta lagu domestik paling banyak distrim pada 2019 di media digital.

“Begitu juga dengan Nastia yang sangat diminati dengan lagu Rapuh dan ada pengalaman beraksi secara live. Setiap artis akan mendendangkan tiga buah lagu dan mungkin lebih,” kata Ahmad Faizal lagi.

Konsert ini turut mendapat kerjasama rakan strategik, Yayasan Digital dan Jemz Group serta rakan media, Oh My Media serta Monyok (merchandise rasmi).

Tiket Konsert Patah Hati dijual pada harga, RM170 (CAT 1 & CAT 2 – SANG PENIKAM) – Early Bird RM158, RM284 (CAT 3 – MAINAN) – Early Bird RM268, RM253 (CAT4 – RAPUH PENCARIANKU), RM5,229 (VIP BOX & SUITE – PULANG & BONEKA).

Tiket-tiket boleh ditempah di laman web http://www.ticket2u.com.my/ . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas