Berita

Konsert AWIE, SEARCH Patuhi SOP, Cegah Penularan COVID-19

||DATUK Awie dan Search akan bergantung dalam Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan. Jom beli tiket!
- Diterbit 1 Oktober 2020 5:56 AM MYT

SEBAGAI penutup tirai tahun 2020, sebuah konsert istimewa khas buat peminat Datuk Awie dan Search pastinya ditinggu-tunggu. 

Kedua-dua artis legenda ini bakal bergabung dalam Konsert Cinta Buatan Malaysia di Stadium Melawati, Shah Alam pada 12 Disember depan.

Sebelum ini, konsert yang awalnya diberi nama Konsert Apologia Search dan Awie yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Judul konsert diberikan bagi  meraikan album pertama Search berjudul Cinta Buatan Malaysia memandangkan mereka meraikan ulang tahun genap 40 tahun Search yang ditubuhkan pada 1981, tahun depan.

Selain Awie, Search akan dianggotai Nasir, Din dan adiknya, Kid manakala Pae bertindak sebagai pemain dram undangan. 

Apa yang penting dalam berhibur, konsert anjuran bersama Imaginex & HS Shazlicious Trading ini akan tetap mengutamakan keselamatan para penonton.

Menurut Awie, mereka tetap bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hospital-hospital demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi pandemik COVID-19. 

“Perkara yang sama akan terus kita buat untuk memastikan penonton yang datang itu selamat. Kami akan ikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Konsert ini pada saya adalah persembahan penutup 2020 yang terbesar. Justeru, ia harus direalisasikan dengan sebaik mungkin

“Jadi, kami buka kepada penyokong-penyokong saya dan Search untuk datang menaja konsert ini. Kami juga akan beri komisen kepada mereka yang bawa masuk penaja.

“Nama pun dah Konsert Cinta Buatan Malaysia, jadi produk-produk jenama tempatan yang terlalu banyak di pasaran, akan terpancar di seluruh dunia jika usaha kami untuk mengadakannya secara maya dalam talian (streaming) terlaksana,” katanya.

DATUK Awie dan Search akan bergantung dalam Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan. Jom beli tiket!

Pada konsert itu, mereka juga akan mengadakan segmen khas sebagai penghargaan kepada bekas pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pada 26 September, tahun lalu.

Tiket konsert berkenaan dijual daripada harga RM399, RM299, RM199, RM99 dan RM1000 (VVIP).

Peminat yang sudah membeli tiket sebelum ini boleh menggunakannya untuk Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan.

Untuk sebarang maklumat lanjut boleh layari www.ilassotickets.com atau menghubungi 03-21706333. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas