PENJAJAAN dan perniagaan kecil-kecilan merupakan antara sektor yang menjadi tumpuan ketika negara berdepan dengan kelembapan ekonomi ekoran pandemik dan sebagainya.
Sebagai kelompok yang memperjuangkan ekonomi pertengahan, golongan penjaja dan peniaga kecil ini perlu disokong dan dibantu supaya mereka dapat berkembang selari dengan kepesatan penggunaan Internet of Things (IoT) sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan negara.
Dalam pertemuan hampir satu jam, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ABDULLAH ABD RAHMAN berkongsi aspirasi kementerian demi meningkatkan taraf penjaja dan peniaga kecil kepada Wartawan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY bersama dengan Jurufoto, AMINULLAH FARIJ HASSAN di Cyberjaya Selasa lalu.
WILAYAHKU: Bolehkah tuan terangkan mengenai Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) yang akan dilaksanakan pada minggu ini?
ABDULLAH: Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil ini disambut pada 18 November setiap tahun yang bertujuan meraikan sumbangan penjaja dan peniaga kecil di negara kita.
Kerjasama yang dilaksanakan ini adalah melalui persatuanpersatuan yang ada seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Gabungan Penjaja Kecil Bumiputera dan pelbagai lagi.
Jadi kita mewujudkan Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (M3PK) sebagai wakil persatuan dan penjaja untuk kita bekerjasama.
Dalam tahun ini kita anjurkan bentuk konvensyen berbanding pada tahun 2021 yang diadakan dalam bentuk karnival di Presint 2, Putrajaya di mana turut mempunyai jualan, food truck dan sebagainya.
Kali ini, kita laksanakan himpunan dalam bentuk konvensyen pada 22 Disember 2022 untuk menjelaskan mengenai dasar-dasar kerajaan dan KUSKOP serta peluang-peluang dan inisiatif program yang kita buat serta menampilkan beberapa usahawan yang telah berjaya yang bermula dari penjaja sahaja.
WILAYAHKU: Apakah matlamat utama konvensyen ini diadakan?
ABDULLAH: Kita ada pembentangan kertas kerja yang berkaitan Dasar Keusahawanan Negara pada 2030 kita sasarkan untuk mendapat usahawan yang catalyst dalam negara kita. Selain itu, antara isi konvensyen adalah tentang bantuan cakna penjaja dan peniaga kecil.
Bantuan ini turut melibatkan pinjaman mikro, geran, latihan dan sebagainya yang ditawarkan di bawah kementerian dan agensi yang akan didedahkan kepada golongan ini.
Selain daripada itu, kita juga berkongsi kisah kejayaan peniaga kecil ini seramai empat orang yang dahulunya bermula sebagai penjaja dan peniaga pasar malam dan hari ini mereka sudah ada kedai dan dapur pusat, food truck bahkan mempunyai kilang dan sebagainya untuk tujuan motivasi kepada golongan penjaja dan peniaga kecil untuk berjaya.
Ini lah antara sebahagian matlamat utama untuk memberikan galakan kepada mereka bagi meneruskan aktiviti perniagaan dan pada masa sama mengambil peluang untuk berkembang dan terus berjaya dalam dunia keusahawan.
Kalau kita lihat, Multy National Company (MNC) sebagai contohnya McDonald’s, produk utama mereka adalah burger yang merupakan makanan jajaan sahaja, namun hari ini ia menjadi jenama besar dan mempunyai ribuan outlet di seluruh dunia dan merekodkan jualan bilion ringgit setahun.
Ini merupakan matlamat utama penganjuran program supaya golongan usahawan kecil ini mampu melangkah lebih jauh dan ia bersesuaian dengan tema konvensyen tahun ini iaitu ‘Kesepaduan Penjaja dan Peniaga Kecil Penjana Ekonomi Negara’ dan ia mengambil kira kesepaduan yang merupakan identiti kerajaan hari ini yang menuntut semua pihak bersatu padu untuk memakmurkan negara kita.
WILAYAHKU: Selain daripada konvensyen dan aktiviti jualan, apakah lagi inisiatif yang ditawarkan kepada peserta dan orang ramai yang berminat untuk berjinak-jinak dalam sektor ini?
ABDULLAH: Melalui konvensyen ini, kami akan perkenalkan dua inisiatif iaitu untuk memperkenalkan aplikasi Warongku dan juga Intoniaga yang merupakan inisiatif di bawah Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia yang kita ketengahkan untuk program mendigitalkan peniaga yang sebelum ini telah giat dijalankan melalui beberapa jelajah yang dilaksanakan bersama.
Kita cuba ubah minda kita berniaga bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi juga dalam alam maya atau digital melalui platform internet dan sebagainya dan ia merupakan langkah pertama kerana kita telah belajar banyak mengenai pendigitalan ketika era pandemik COVID-19 yang menyebabkan kita tidak boleh keluar dari rumah dan seterusnya segala urusan jual beli hanya dalam talian.
Jadi aplikasi Warongku merupakan program yang mengetengahkan platform jualan dan perkhidmatan riders yang telah dibangunkan sesuai dengan persekitaran.
Yang keduanya, Intoniaga ini merpakan satu kad kesetiaan (loyalty card) di mana pihak Intoniaga ini turut menjalin kerjasama dengan AEON, Perkeso serta beberapa syarikat lain yang membolehkan pemegang kad mengumpulkan mata dan boleh ditukarkan sebagai bayaran kepada Perkeso, insurans dan program kesetiaan yang dilihat penting serta menjamin golongan penjaja dan peniaga kecil ini mendapat perlindungan daripada Perkeso kerana mereka mungkin tidak mencarum sebelum ini.
Bertitik tolak daripada program ini juga, kami mahu golongan ini menjadikan Internet of Things (IoT) pada mereka supaya berkembang lebih baik dalam perniagaan.
WILAYAHKU: Mendepani tahun 2023 yang diramalkan akan berlaku kemelesetan ekonomi, adakah konvensyen ini akan dapat mengatasi masalah tersebut?
ABDULLAH: Memang dapatan daripada data ekonomi meramalkan bahawa tahun 2023 akan menjadi lebih mencabar kerana kemelesetan ekonomi di seluruh dunia serta masalah keterjaminan makanan disebabkan oleh perubahan alam sekitar, iklim dan sebagainya.
Tujuan utama konvensyen ini juga akan mendedahkan kepada golongan ini supaya mereka beralih kepada perniagaan secara digital kerana kita lihat ramai orang sekarang ini menggunakan aplikasi TikTok, Facebook dan Instagram untuk mengembangkan perniagaan. Kita lihat juga kejayaan pada mereka yang menjual barangan kosmetik, ubat-ubatan menggunakan IoT menjadi keutamaan.
Jadi langkah kita untuk mereka bergiat dalam IoT dalam melaksanakan perniagaan sekali gus menjadikan skop perniagaan menjadi lebih luas dan besar serta tidak bergantung kepada setempat.
Kita juga giat membangunkan aplikasi yang menyediakan platform niaga seperti Warongku untuk membantu peniaga kecil dalam negara.
Selain itu, di bawah program pemantapan dengan kerjasama Warongku, kita turut memberikan pendedahan dan ilmu untuk menggunakan aplikasi ini termasuk untuk memuat naik gambar dan memasarkan produk.
Bantuan kewangan melalui Bank Rakyat, Perbadanan Tekun akan disediakan setelah peserta mengikuti program pemantapan dalam bentuk latihan. – WILAYAHKU