Berita

Gangguan bekalan air: 95 peratus kawasan pulih setakat 6 petang

- Diterbit 26 Disember 2022 12:11 PM MYT

STATUS pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, telah mencapai 95 peratus setakat 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan turut memaklumkan kawasan yang belum pulih melibatkan 21 kawasan di Petaling dan dua di Sepang.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bekalan air bagi kawasan terjejas akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi telah pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari tadi, manakala kawasan terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi esok.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan air daripada pili mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa boleh didapati menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” menurut syarikat itu.

Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi Sabtu (24 Dis), berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas