Berita

Kongres Peru undi pecat Presiden Vizcarra

- Diterbit 10 November 2020 4:16 AM MYT

KONGRES Peru pada Isnin mengundi untuk memecat Presiden Martin Vizcarra kerana terbabit dengan tuduhan rasuah, lapor Agensi Anadolu.

Bagaimanapun, Vizcarra mempertahankan dirinya dan menafikan menerima rasuah bernilai 2.3 juta sol (US$641,000) ketika menjadi gabenor wilayah Moquegua dari 2011 hingga 2014.

Ketika anggota kongres bersiap sedia mengundi untuk pusingan kedua, Vizcarra mengatakan kontrak yang dimaksudkan itu diberikan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bukan oleh pentadbirannya.

“Keputusan terbaik sudah dibuat, tidak ada tujuan untuk mengisi poket sesiapa, apalagi saya,” katanya

Vizcarra kemudian mendakwa 68 anggota kongres lain yang sedang disiasat, tidak dikenakan tindakan.

Undian untuk memecat beliau pernah dibuat kira-kira dua bulan lalu tetapi gagal mendapat sokongan yang diperlukan. Kali ini, 105 menyokong, 19 menentang dan empat berkecuali, membolehkan Kongres menyingkirkan presiden.

Kongres yang dianggotai 130 orang itu memerlukan 87 undi memecat presiden.

Ketua parlimen, Manuel Merino de Lama, akan menyandang jawatan presiden sehingga Julai tahun depan.

Perkembangan terbaru itu berlaku di tengah-tengah ketidakstabilan politik dan institusi di negara ini, diburukkan lagi oleh krisis ekonomi disebabkan COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas